Bintang drama bersiri Gerak Khas, Nizen Ayob, 33, disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, tengah hari tadi.
Berita kematian Inspektor Nizam menerusi drama tersebut, dikongsi oleh dua rakan sekerjanya, Salina Saibi dan Sheera Iskandar, melalui status Instagram milik mereka.
Menurut pelakon Salina Saibi, doktor mengesahkan Allahyarham meninggal dunia akibat kegagalan fungsi buah pinggang.
“Sahabat kami dalam Gerak Khas sudah pergi meninggalkan kita, sebentar tadi. Menurut kakak iparnya, doktor memaklumkan buah pinggangnya sudah separuh rosak hingga koma.
“Jenazah dimandikan di HSA, Johor Bahru sebelum dibawa pulang ke rumah keluarganya.
“Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah kepadanya. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan insan beriman.”
Sebelum ini, pelakon Nizen Ayob pernah memuatnaik sekeping gambar menunjukkan sebatang paku berkarat dan objek hitam yang tidak dapat dikenal pasti selain kecederaan di dahinya ketika berubat.
Nizen juga turut mengakui dirinya telah di sihir oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
Pelakon yang mempunyai pertalian darah dengan Allahyarhamah Seniwati Datin Umi Kalthum dan Noorkumalasari ini pernah membintangi drama popular antaranya Janji Jaslina, Istikharah Cinta dan Cinta Jannah.