Penerbit Eksekutif TV3, Muhamad Sufian Che Isa mengesahkan rumah tangganya bersama penyanyi dangdut, Mas Idayu sudah berakhir apabila sudah bercerai pada 4 Mac lalu.
Memetik Harian Metro, Sufian berkata rumah tangga yang dibina hampir tiga tahun itu sudah pun terlerai serta tiada lagi jodoh antara mereka. Namun Sufian berkata mereka masih lagi baik sebagai sahabat.
BACA: Mas Idayu Dah Bercerai?
“Memang betullah gosip itu. Kami dah sah bercerai pada 4 Mac lalu di Mahkamah Syariah Shah Alam. Punca perceraian, saya anggap kami sudah tiada jodoh saja.
“Bagaimanapun, hubungan antara kami masih lagi baik sebagai sahabat. Tapi, jodoh kami nampaknya sampai di sini saja dan saya positif menerima takdir yang sudah ditetapkan ini.
“Pada usia saya yang sudah tua ini, nak bermasam muka atau bergaduh pun buat apa? Bagi saya, memang jodoh kami sampai di sini saja,” katanya.
Sementara itu, Sufian berkata tiada pasangan yang berkahwin mahu bercerai namun soal jodoh adalah ketentuan Allah. Malah, dia bersedia untuk bekerjasama dengan bekas isterinya itu dalam program TV.
“Saya pun tetap bersedia untuk terus bekerjasama dengan dia dalam program dijalankan stesen TV. Kami pun berpisah secara baik. Saya akan terus beri sokongan pada kerjaya seninya, termasuk sebagai juri program,” katanya.
Untuk rekod, Sufian dan Mas Idayu mendirikan rumah tangga pada September 2022 yang merupakan perkahwinan kedua mereka.
SUMBER: Harian Metro