Mamat Exist Didakwa Miliki, Guna Dadah

Penyanyi Mamat Exist didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor Bahru hari ini, atas dua pertuduhan memiliki dan mengambil dadah pada 2019.

Memetik Harian Metro, Mamat bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Fatimah Zahari dan Majistret, Hidayatul Syuhada Shamsudin selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, Mamat didakwa memberi kepada diri sendiri dadah Methamphetamine kira-kira 2 pagi, 9 September 2019 di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Johor Bahru Utara.

Mamat juga mempunyai kesalahan berulang memberikan dadah kepada diri sendiri pada tahun 2016 dan 2018. 

Bagi pertuduhan kedua, Mamat didakwa memiliki dadah jenis Methamphetamine dengan berat 0.17 gram pada 11.35 malam, 8 September 2019 di Taman Perling.

Terdahulu, peguam mewakili tertuduh memohon anak guamnya dirujuk bagi mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Permai.

Hakim kemudian membenarkan permohonan itu dan menetapkan tarikh 22 Februari depan untuk sebutan semula kes termasuk laporan perubatan.

×