Majlis Perkahwinan: Akim Ahmad Cuba Elak Pembaziran

Setelah mengumumkan akan mengadakan majlis perkahwinan pada Februari depan, penyanyi Akim Ahmad memberitahu bahawa dia tidak mahu terlalu bermewah dalam soal perbelanjaan majlis perkahwinannya bagi mengelakkan pembaziran berlaku.

BACA: Akim Ahmad, Stacy AF Tidak Harap Tajaan Kahwin

“Perkahwinan saya kalau boleh saya tidak mahu untuk terlalu nampak gah atau terlalu biasa. Cukuplah ia sederhana untuk diadakan serta mengikut kemampuan yang ada. Kalau boleh saya mahu mengelakkan berlakunya pembaziran”

“Saya masih sama juga, tidak ada apa yang berubah, cuma persiapan untuk hidup berkeluarga dan selepas ini saya akan menjalankan tanggungjawab saya sebagai imam untuk isteri serta anak-anak. Sekarang ini banyak saya berfikir mengenai masa depan, kalau boleh nak fokus cari duit,” ujarnya.

Umum mengetahui tunangnya, Stacy mempunyai anak angkat yang bernama Bella Valentina berusia 3 tahun. Gelaran ‘bapa ekspress’ yang diberikan kepada Akim nyata tidak menggusarkan jejaka ini malah dia berasa gembira kerana telah menganggap Bella itu seperti anaknya sendiri.

“Saya sangat gembira kerana sudah anggap Bella seperti anak saya sendiri, malah kami sendiri pun rapat sebab sudah kenal dia dari kecil lagi. Saya tidak rasa kekok atau janggal tetapi berasa teruja untuk hidup bersama Bella dan Stacy,” ujarnya yang memberitahu Bella juga memanggilnya dengan gelaran Daddy.

Dalam pada itu, bagi sesiapa yang mempunyai bakat dalam bidang seni suara adalah digalakkan untuk menghadiri ujibakat ‘Mentor Milenia’ yang membariskan Black, Azlan, Hazama dan Akim sendiri sebagai barisan Mentor.

Program Mentor Milenia kali ini tidak sama dengan program Mentor yang diadakan sebelum ini kerana ianya fokus kepada golongan muda dalam lingkungan umur dari 17 hingga 21 tahun. Bagi para peserta yang berminat untuk menjadi protege kepada Akim bolehlah menghadiri ke sesi ujibakat yang akan diadakan pada 20 Disember bertempat di Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam. (rtky/h)

×