Mahu Fokus Kerja, Syaiful Zero Tangguh Niat Kahwin

Walaupun sebelum ini pernah keluarkan kenyataan yang beliau mahu melangsungkan perkahwinan selepas tamat persaingan Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM 2014), nampaknya Syaiful Zero kini mempunyai perancangan lain untuk kukuhkan kerjaya sebagai penghibur.

Bercakap kepada Astro Gempak, Syaiful Zero akui yang niat asal sebenar jika menang di Maharaja Lawak Mega adalah untuk perbaiki keadaan rumah mereka di Kudat selain menghantar ibu mereka mengerjakan ibadah haji di Mekah.

BACA: Zero Mahu Bawa Emak Tunai Umrah Selepas Menang RM500,000

“Nawaitu asal kami menyertai Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM 2014) adalah untuk mendapatkan wang dan menunaikan dua hasrat kami itu. Hal perkahwinan, mungkin akan ditunda terlebih dahulu. Buat masa ini biarlah kami bertiga fokus pada kerja dahulu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zero yang bakal membintangi filem baru terbitan MIG tidak lama lagi meluahkan rasa bersyukur atas peluang yang diberikan kepada bakat dan kerja keras mereka selama ini.

“Dahulu kami kerja keras demi keluarga, hari ini pun kami tetap bekerja keras sama seperti dahulu. Kesusahan hidup membuatkan kami cuba untuk mengubahnya. Tidak sangka, peluang memasuki program Raja Lawak sebelum ini menonjolkan bakat seni yang kami ada. Di situ, kami mula sedar hidup semakin bersinar,” ujar mereka. (rtky/m)

×