Kali terakhir para peminat tegar Ziana Zain menyaksikan konsert beliau ialah pada tahun 2001 iaitu di konsert ‘ZZ in the Park’ yang berlangsung di PWTC. Masa tu, penulis baru nak masuk sekolah menengah. Heh.

Kini selepas 15 tahun tidak muncul dengan persembahan mega, penghibur bersuara lantang ini bakal mengubat kerinduan para peminat dengan konsert yang diberi nama I Am Ziana Zain.


Satu kelainan yang dibawakan oleh diva kesayangan ramai ini, konsert mega tersebut akan berlangsung di negeri kelahirannya, di negeri bersejarah Melaka iaitu lokasinya di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 27 September 2014.


“Saya sangat berbesar hati dan bersyukur kerana impian saya selama ini akhirnya akan menjadi kenyataan apabila pihak penganjur menyatakan hasrat mereka untuk merealisasikan konsert saya. Saya tak sangka pada usia begini, masih ada pihak yang percaya dengan saya”

“Konsert ini juga sebagai hadiah saya kepada para peminat saya yang tidak pernah jemu-jemu menyokong saya. Ini juga berkat doa mereka yang sentiasa menyuarakan hasratt mahu menyaksikan konsert saya”



“Selama ni sudah banyak konsert lain di Kuala Lumpur, jadi sebagai memberi kelainan saya memilih Melaka. InsyaAllah ini sebagai permulaan dan sekiranya ada peluang dan rezeki, saya berhasrat membawa konsert saya ini ke negeri lain pula dan mungkin kemuncaknya akan diadakan di Kuala Lumpur nanti. Semoga konsert di Melaka ini akan membuka jalan lebih luas untuk saya pada masa akan datang,” kata Ziana Zain penuh teruja ketika ditemui pada sidang media mengumumkan komsertnya ini bertempat di hotel Royal Chulan Damansara, semalam.

Bakal berlangsung selama dua jam, konsert anjuran Gold Earth Pictures Sdn Bhd ini menelan kos sekurang-kurangnya RM730,000. Pada konsert yang akan diketuai oleh pengarah muzik berpengalaman, Aubrey Suwito ini, Ziana akan mendendangkan sebanyak 22 lagu hits petikan dari album pertamanya hingga terkini termasuk satu single baru istimewa buat para penonton.

Selain itu, persembahan penyanyi yang cukup popular dengan lagu ‘Madah Berhelah’ dan ‘Puncak Kasih’ ini akan diiringi oleh 22 pemuzik okestra. Berkonsepkan dramatik, penonton juga akan dipersembahkan dengan beberapa kejutan sekaligus memberikan hiburan maksimum kepada pembeli-pembeli tiket.

Tiket-tiket untuk Konsert I Am Ziana Zain dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu Platinum berharga RM325, Diamond (RM255), Gold (RM155) dan silver (RM95). Istimewa, seramai 100 pembeli pertama tiket Platinum berpeluang beramah-mesra dan melakukan aktiviti menarik bersama Ziana Zain, sehari selepas konsert berlangsung.

Tiket-tiket boleh didapati menerusi www.TicketPro.com.my atau beli terus di pejabat urusan Golden Earth Pictures. Selain itu tiket juga dijual di Melaka International Bowling Center (MIBC), Melaka. Bagi peminat yang membuat pembelian terus dari pejabat urusan Golden Earth Pictures bermula 14 April hingga 31 Mei akan mendapat potongan harga sebanyak 10%. (rtky/fr)