Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Russia menterjemahkan kesungguhan Malaysia untuk meneroka peluang baharu dan bukan lagi menunggu dalam dunia pasca pandemik dan konflik geopolitik.
Senario semasa itu menuntut Malaysia mengorak langkah secara bijak dengan tidak menjadikan pendirian sebuah negara berkecuali sebagai penghalang untuk mengukuhkan hubungan dengan mana-mana negara termasuk Russia.
Suara Malaysia yang dibawa ke Moscow oleh Perdana Menteri juga bukanlah bererti kita tunduk, sebaliknya untuk menjadi rakan setaraf.
Ia sekaligus menjadi testimoni dasar luar Malaysia yang matang dan berpandangan jauh bagi merintis kerjasama dalam sektor-sektor yang kurang diteroka sebelum ini.
Mengulas mengenainya, Geostrategis Dr Azmi Hassan berkata lawatan rasmi Anwar ke Moscow hanya akan dianggap lawatan biasa sekiranya tidak berlaku tarif timbal balik AS.
Tetapi kerana berlatarbelakang tarif timbal balik, ia menjadi sangat penting kerana negara ini dan ASEAN yang dipengerusikan Malaysia perlu mencari pasaran baharu, katanya.
Katanya, hal ini kerana kemungkinan besar Presiden AS, Donald Trump tidak akan menurunkan kadar tarif timbal balik yang dikenakan kepada Malaysia dan negara anggota ASEAN.

Dr. Azmi Hassan
“Kadar tarif itu akan kekal, tidak akan banyak berubah. Jadi Malaysia terpaksa mencari rakan dagang dan pasaran baharu.
“Pasaran baharu bukan sahaja kepada Malaysia tetapi negara ASEAN lain terutama kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia yang selama ini bergantung kepada pasaran lumayan AS.
“Jadi Russia itu dikatakan sebuah pasaran besar dan boleh dimanfaatkan dalam hal ekonomi,” katanya kepada Rotikaya.
Anwar memulakan lawatan rasmi empat hari ke Russia bermula Selasa di atas undangan Presiden Russia sendiri, Vladimir Putin.
Lawatan kali kedua ke Russia dalam sela masa lapan bulan itu merangkumi kunjungan ke beberapa lokasi utama di Moscow serta Kazan, Tatarstan.
Anwar turut dijadual mengadakan pertemuan dan mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatnya, Mikhail Mishutin serta menghadiri mesyuarat bersama Putin bagi memperkukuh persahabatan Malaysia-Russia serta merintis kerjasama baharu dalam pelbagai bidang strategik.
Kemuncak lawatan Anwar ke Kazan ialah penyertaan beliau dalam Forum Ekonomi Antarabangsa Russia-Dunia Islam ke-16: KazanForum, seterusnya dijemput menyampaikan ucaptama semasa sesi pleno.
KazanForum adalah platform utama bagi memupuk kerjasama ekonomi di antara Russia dan negara-negara Islam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Mesyuarat Meja Bulat bersama 24 pemain industri utama Rusia di Moscow pada Rabu
Dalam aspek geostrategik pula, Dr Azmi yang juga Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) menjelaskan lawatan rasmi Anwar itu juga penting kepada Malaysia sebagai rakan kongsi BRICS dan kumpulan Global South yang kedua-duanya turut dianggotai Russia.
“Kita memberi satu isyarat kepada AS jikalau mereka nak ketepikan kita, Malaysia dan negara ASEAN ada landasan-landasan lain seperti BRICS dan Global South.
“Jadi dari segi ekonomi dan geopolitiknya, amat penting sekali lawatan Anwar bukan sahaja sebagai Perdana Menteri Malaysia tetapi yang penting sebagai Pengerusi ASEAN,” katanya.
Berkenaan persepsi kuasa besar lain terhadap keakraban Putrajaya dan Moscow, Dr Azmi menegaskan dalam senario baharu dunia yang dicetuskan Trump, Malaysia tidak boleh lagi ‘berkecuali’.
Katanya Malaysia perlu mencari rakan geopolitik dan pasaran baharu untuk memakmurkan ekonomi Malaysia terutama PKS.
“Jadi dalam hal berkecuali, sukar untuk kita kekal berkecuali, tapi kita berkawan juga (dengan negara besar lain).
“Tetapi masalah dengan AS ini, mereka sahaja yang nak untung, ini yang menjadi masalah sekarang.
“Jadi kita terpaksa mencari pasaran baharu dan rakan baharu lah,” katanya.
Perdana Menteri sebelum ini mengulangi pendirian Malaysia yang kekal berkecuali dan kerjasama dengan mana-mana negara adalah untuk menarik pelaburan dan memakmurkan ekonomi negara.
Pada 2024, Russia adalah rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah dengan jumlah dagangan mencecah RM11.46 bilion (AS$2.48 bilion).