Kejayaan lawatan kerja Perdana Menteri ke Itali, Perancis dan Brazil tidak boleh diukur daripada nilai pelaburan yang dibawa masuk ke negara ini semata-mata kerana yang lebih penting ialah manfaat tersirat ekonomi dan geopolitik.
Geostrategis, Dr. Azmi Hassan berkata, kritikan daripada pihak tertentu kononnya lawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memberi manfaat kepada negara adalah difahami kerana ia melibatkan kos yang besar.
Katanya, sudah tentu pihak yang mengkritik mahu melihat manfaat tersurat seperti berapa nilai pelaburan yang berjaya dibawa balik sedangkan ia bukanlah objektif utama lawatan itu.
“Yang paling penting ialah manfaat tersirat apabila Anwar bukan sahaja membuka pasaran baharu di Itali, Perancis dan Amerika Latin melalui Brazil kepada pengusaha Malaysia tetapi beliau juga ke negara terbabit dengan memakai topi Pengerusi ASEAN.
“Jadi negara ASEAN juga mendapat manfaat pembukaan pasaran baharu kerana pasaran Amerika Syarikat (AS) bukan lagi lumayan bagi kita.
“Kita sudah tahu apa terjadi dengan kita (dikenakan tarif timbal balik) 25 peratus, Thailand 36 peratus dan Indonesia 32 peratus umpamanya,” katanya kepada Rotikaya.

Mengulas lanjut, Dr. Azmi yang juga Felo Kanan Akademi Penyelidikan Nusantara (NASR) berkata, manfaat tersirat geopolitik daripada lawatan itu amat penting sewaktu Malaysia berdepan tekanan AS.
Katanya, kesudian Presiden Brazil, Lula da Silva dan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Oktober ini boleh diibaratkan seperti satu coup iaitu ‘rampasan kuasa’ yang menunjukkan kepentingan rantau ini.
“Memang ASEAN itu penting dan kerana itu kedua-dua pemimpin ini bersetuju hadir.
“Ini menunjukkan kita tidak mahu terikat dengan pertembungan kuasa besar. Walaupun AS cuba menekan kita, tetapi kita berbaik dengan semua negara.
“Inilah yang perlu dilihat oleh pengkritik-pengkritik tegar tadi, lihatlah manfaat tersirat yang diperoleh Malaysia yang tidak dapat dinyatakan dalam bentuk wang ringgit.
“Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Pengerusi ASEAN telah berjaya meletakkan ASEAN dalam organisasi yang dianggap penting,” tegasnya.
Sementara itu, Dr. Azmi turut menarik perhatian kenapa Anwar memilih Itali dan Perancis sebagai destinasi persinggahannya dalam perjalanan ke Rio de Janeiro, Brazil bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS Ke-17.
Katanya, walaupun lawatan itu diuar-uarkan sebagai misi perdagangan lebih-lebih lagi FTA ASEAN-EU sedang dibincangkan, hakikatnya ia berkaitan geopolitik Trump.
Ini kerana Meloni dianggap klon Presiden Trump dan beliau merupakan pemimpin Eropah pertama melawat White House selepas Trump mengenakan tarif timbal balik April lalu, katanya.

Malah kata Dr. Azmi, Meloni juga terikut-ikut dengan slogan Make America Great Again (MAGA) apabila menyebut Make Europe Great Again (MEGA).
Presiden Perancis, Emmanuel Macron pula katanya berani memperbetulkan Trump tapi dengan cara lebih diplomasi, tidak seperti Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky.
“Hakikatnya Malaysia berbaik dengan Perancis dan Itali bukan sahaja untuk meneroka pasaran Eropah tetapi berkaitan geopolitik Eropah dan geopolitik Amerika (Trump).
“Apakah strategi kita adalah untuk ‘mempergunakan’ Macron dan Meloni? Itulah yang saya baca daripada lawatan Anwar ke Perancis dan Itali,” jelasnya.
Pada Isnin, Perdana Menteri berlepas pulang ke tanah air selepas mengadakan siri lawatan kerja ke tiga negara iaitu Itali, Perancis dan Brazil.
Di Brazil, Perdana Menteri menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS Ke-17 yang disifatkannya sebagai satu kejayaan penting dalam memperkukuh hubungan dua hala serta memperluas jaringan kerjasama strategik Malaysia ke peringkat global.
Dalam hantaran di Facebook, Anwar menjelaskan lawatan berkenaan mencapai matlamat utamanya termasuk memperkukuh hubungan dua hala bukan sahaja dengan Brazil tetapi juga negara anggota BRICS lain.
“Nama Malaysia terus meniti di bibir para pelabur antarabangsa hasil komitmen tidak berbelah bahagi seluruh pasukan Kerajaan MADANI dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi yang memacu pertumbuhan dan menjana manfaat buat rakyat.
“Usah kita terganggu dengan suara sumbang yang cuba memperlekehkan usaha ini. Perjalanan kita masih panjang dan kita akan terus mara dengan tekad serta iltizam membawa perubahan nyata buat negara dan generasi penerus,” katanya.