“Lantaklah Nak Kata ‘Menunggang’ Cerita Siti Sarah” 

Pelawak dan usahawan Shuib enggan mempedulikan tuduhan netizen yang mendakwa dia ‘tunggang’ cerita berkenaan arwah isterinya, Siti Sarah.

Memetik Harian Metro, Shuib berkata isu tersebut bukan baru baginya dan dia sudah lali dengan kritikan netizen yang menuduhnya ‘menunggang’ nama arwah untuk meraih simpati.

BACA: Shuib & Mamat Tarik Diri Tunai Umrah, Larang Guna Wajah Untuk Tujuan Promosi

“Isu ini bukan baru, setiap tahun perkara sama berulang. Kalau saya tak kongsi, orang kata saya lupa, tapi kalau saya kongsi, mereka tuduh saya menunggang.

“Hujung-hujung saya rasa lantaklah… Kalau mereka tak nak tengok, tak payah tengok! Saya berkongsi tentang orang rumah saya, bukan orang rumah mereka. Saya ada hak!” katanya

Sementara itu, Shuib berkata dia terasa dengan sikap segelintir netizen sehinggakan ada ketika dia cuba untuk tidak berkongsi berkenaan hati ulang tahun arwah isterinya.

“Ada satu ketika saya cuba untuk tidak berkongsi, terutama pada hari ulang tahun dan hari kematian dia… Hati saya sakit dan terasa dengan sikap orang seperti ini. Saya rasa saya pula menzalimi diri sendiri kerana terlalu ikut kehendak mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Shuib meluahkan rasa terharu apabila anaknya Talita menyatakan hasrat untuk membersihkan namanya daripada menjadi bahan kritikan netizen. Malah, Talita juga berjanji untuk menjadi penyanyi serta tidak akan mengecewakannya.

“Itu berlaku secara tiba-tiba, saya tak pernah ajar dia cakap seperti itu dan saya juga tak tahu perasaan dia terhadap saya macam mana.

“Sebagai bapa tentu saya sedih tapi bangga kerana dia anak yang ambil berat terhadap saya. Dia juga berjanji untuk menjadi penyanyi sebenar dan tidak akan kecewakan saya,” katanya.

SUMBER: Harian Metro

×