Baru-baru ini, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBhg. Datuk Seri Hasnol Zam Zam Haji Ahmad telah turun padang ke Langkawi bagi meninjau pelaksanaan projek-projek inovasi tempatan yang sedang dijalankan. Lawatan ini telah diatur oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dengan sokongan penuh daripada MOSTI.

Lawatan ini bukan sekadar rutin biasa, malah merangkumi pelbagai inisiatif seperti projek pemuliharaan biodiversiti, teknologi akuakultur berimpak tinggi serta kemudahan digital yang membantu komuniti tempatan menguasai teknologi. Kesemua ini digerakkan ke arah pemerkasaan masyarakat setempat melalui pendekatan sains, teknologi dan inovasi.

Lawatan bermula dengan sesi pemantauan Program Rehabilitasi dan Konservasi Gamat Emas yang berlangsung di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pendaratan Sungai Chenang, Langkawi, Kedah. Delegasi turut dibawa ke Pulau Singa Besar bagi menyaksikan secara langsung sesi pemantauan gamat, termasuk pelepasan 20 ekor induk gamat dan 200 ekor gamat juvenil ke laut. Misi utama program ini adalah untuk memastikan kelangsungan industri gamat tempatan melalui pendekatan moden dan lestari.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Dr. Sharmila Mohamed Salleh, “Program ini bukan sahaja menyumbang kepada usaha pemuliharaan biodiversiti, tetapi juga memberi impak langsung kepada komuniti melalui pemerkasaan ekonomi dan penggunaan teknologi inovatif. Langkawi mempunyai potensi besar sebagai hab inovasi komuniti, dan YIM komited untuk terus menyokong inisiatif yang membawa teknologi lebih dekat kepada rakyat.”

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sains Malaysia (ASM), Puan Hazami Habib, yang menyatakan keterujaannya terhadap model pengurusan projek ini. Beliau berharap pendekatan sebegini dapat diperluas ke skala yang lebih besar pada masa akan datang.

Untuk makluman, Projek Gamat Emas merupakan hasil kolaborasi antara Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), YIM, ASM dan APP – masing-masing memainkan peranan sebagai penyelidik, pelaksana serta pemantau projek.

Dalam lawatan yang sama, turut diketengahkan ialah Projek Sistem Pintar Penternakan Ketam (SeppeK) dan yang telah menerima geran sebanyak RM180,000 di bawah Program Inclusive SME Ecosystem (i-SEE) Tahun 2022, serta Projek Penternakan Ketam Kulit Lembut (V-Crabs) yang menerima geran RM50,000 melalui Program MaGRIs/MyIS Akar Umbi Tahun 2024 dan RM80,000 melalui Program Rintis Pengkomersialan Inovasi Sosial. Kedua-dua projek ini menunjukkan potensi besar dalam memperkasa ekonomi komuniti melalui penerapan teknologi inovatif dalam sektor akuakultur.

Pada sebelah petang, rombongan meneruskan lawatan ke Ruang Daya Cipta (RDC) yang terletak di Kompleks LADA, Wing B. Fasiliti ini dilengkapi dengan pelbagai peralatan berteknologi tinggi seperti pencetak 3D, sistem automasi, dan robotik.

RDC yang telah mula beroperasi sejak Ogos 2022 berfungsi sebagai pusat pembelajaran, latihan dan sokongan teknikal kepada komuniti setempat. Fokus utamanya adalah untuk membawa elemen Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) secara inklusif dan mampan kepada masyarakat, agar manfaat teknologi dapat dirasai oleh semua lapisan rakyat.

×