Pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie akan dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Memetik Harian Metro, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, Jovian adalah saksi yang dinamakan oleh Ismail Sabri ketika direkod keterangan sebelum ini untuk mengesahkan aset yang diisytihar kepada pihaknya.
BACA: Jovian Minta Maaf Tak Dapat Hadir Majlis Perkahwinan Bekas Isteri
Menurutnya lagi, pihak SPRM akan ke Indonesia untuk berjumpa dengan bekas menantu Ismail Sabri itu yang kini menetap di Indonesia.
“Kita akan pergi berjumpa dengannya di sana (Indonesia), dijangka pergi dalam seminggu dua ini dan saya sudah maklumkan kepada pasukan siasatan untuk segerakannya.
“Ini kerana ada harta yang disebutkan oleh beliau (Ismail Sabri) dan perlu pengesahan Jovian,” katanya.
Terdahulu, Ismail Sabri telah membuat pengisytiharan harta pada 10 Februari lalu dan SPRM masih dalam proses menganalisis aset serta sumber kewangannya.
Sementara itu, Azam berkata setakat ini seramai 57 individu sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan. Tambahnya lagi, berdasarkan laporan yang diterima kes dijangka akan selesai pada akhir Jun.
SUMBER: Harian Metro