Pelakon dan usahawan Fazura menafikan rumah tangganya dengan suaminya, aktor Fattah Amin bermasalah seperti didakwa netizen di media sosial.
Memetik HibGlam, Fazura berkata dia sendiri tidak tahu punca khabar angin itu tercetus sehingga ada rakan-rakan bertanyakan mengenai hubungannya dengan Fattah.
BACA: “Dia Tak Pernah Biarkan Saya Sendukkan Nasi, Tuang Air Sendiri” – Fattah Amin
“Sebenarnya saya tak tahu hujung pangkal daripada mana cerita ini bermula. Kawan-kawan mesej saya tanya hubungan dengan Fattah okey atau tidak.
“Saya faham peminat nak ambil berat sebab dah lama tak nampak kami bersama. Kalau ada spekulasi-spekulasi bertebaran di luar sana itu memang tidak betul. Saya dan Fattah okey,” katanya.
Sementara itu, Fazura berkata dia mengehadkan perkongsian bersama suami kerana buat masa ini dia mahu menyebarkan kesedaran tentang peperangan di Palestin.
“Secara jujur saya memang terhadkan posting di media sosial. Saya terkesan melihat mereka di Palestine. Jadi saya rasa tak okey tunjuk kemesraan bersama keluarga dalam media sosial. Saya tak nak tunjuk kebahagiaan bersama anak dan suami,” katanya.
Dalam pada itu, Fazura mengakui bahawa dia jarang berjumpa Fattah kerana jadual kerja mereka berdua yang terlalu padat.
“Jadual kerja kami berdua sangat sibuk dan jarang jumpa. Fattah keluar pagi balik malam, jadi memang kami tiada masa nak tunjuk kemesraan,” katanya.
SUMBER: HibGlam