Penyanyi Datuk Zainalabidin tidak akan mengulas kenyataan anak perempuannya iaitu pempengaruh, Timur Gabriel yang mendakwa Zainal tiada usaha memperbaiki hubungan mereka.
Memetik Harian Metro, Zainal berkata dia enggan menjaja cerita peribadi dan baginya anaknya hanya individu berbintikan namanya dan jika tidak menggunakan nama tersebut maka bukanlah anaknya.
BACA: “Dia Cuma Tanya Adakah Saya Solat?” – Timur Dakwa Bapa Sudah Lama Tak Tanya Khabar
“Kalau saya nak jawab, saya jawab. Tapi sebenarnya, tiada apa-apa untuk dijelaskan. Dia boleh kata apa saja dia mahu. Namun, bagi saya, anak saya mesti bernama ‘binti Zainal Abidin’.
“Kalau bukan menggunakan nama itu, maka bukanlah anak saya. Itu saja jawapan saya. Kalau nak tanya saya percaya atau tidak pada kenyataan dia, jawapan saya, tidak.
“Dia ada hak untuk berkata apa dia mahu. Silakan. Kenapa? Sebab saya percaya, Allah lebih mengetahui. Itu pandangan peribadi saya,” katanya.
Sementara itu, Zainal berkata dia tidak perlu menjaja mengenai kehidupan peribadinya dan mereka di luar sana boleh bercakap apa saja kerana ianya bukan perkara benar.
“Saya jaga hal ini sendiri. Tapi anda boleh lihat sendiri, walaupun saya tidak menjawab secara langsung, siapa sebenarnya yang lebih baik, siapa lebih berjaya. Siapa yang sedang berada di landasan betul.
“Saya bukan ‘TikToker’ yang kejar duit. Bukan. Saya penyanyi. Saya anak seni dan saya berjaya. Saya tidak perlukan orang seperti itu di sekeliling saya. Mereka boleh bercakap sesuka hati sebab apa yang dikata bukan kebenaran,” katanya.
Terdahulu, Timur mendedahkan berkata tiada sebarang usaha dilakukan untuk berdamai sebagai seorang bapa. Malah, bapanya tidak pernah bertanya khabar serta mendakwa tidak mahu ambil tahu mengenai dirinya.
SUMBER: Harian Metro