Jojie Dan Syahrizal Ismail Kini Sah Bergelar Suami Isteri

Kakak kepada Ratu Rock negara, Jojie kini sah menjadi isteri kepada Syahrizal Ismail dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan yang berlangsung di Masjid Ara Damansara malam semalam.

BACA: Jojie Bakal Akhiri Zaman Bujang Jun Ini

Jojie atau nama sebenarnya, Rozita Aminuddin menerima mas kahwin RM888 dan wang hantaran RM20,000 serta tujuh dulang dan dia menitiskan air mata ketika suaminya melafazkan akad nikah yang disempurnakan oleh Jurunikah Mukim Subang, Abdul Halim Abd Rahman.

“Syukur semuanya selamat dan berjalan lancar. Alhamdulillah. Terima kasih kepada keluarga, saudara mara dan sahabat yang sudi hadir,” katanya kepada Berita Harian sambil ditemani Ella dan ibunya Yang Asmah Long.

Menurut Jojie, dia mula mengenali Syahrizal yang berusia 36 tahun sejak lebih setahun lalu sebelum lelaki itu menyuntingnya menjadi isteri. Kongsinya, Syahrizal yang bekerja sebagai Ketua Pegawai Operasi sebuah syarikat swasta, melamarnya dengan sebentuk cincin pada 11 Disember tahun lalu.

“Syah tahu dan kenal saya dan saya yakin dia menerima saya seadanya seperti juga saya menerimanya,” katanya yang mempercayai sikap jujur dan sabar yang ada pada Syahrizal sehingga berjaya memikat hatinya serta keluarga. (rtky/s)

×