Pelakon Izreen Azminda berkongsikan insiden menakutkan apabila pernah menjadi mangsa pukau seorang wanita ketika berkunjung ke sebuah pusat beli belah di ibu kota.

Menerusi perkongsian di Insta Story, Izreen berkata sebelum kejadian seluarnya dicalit sesuatu seperti gincu sehingga dia mengikut arahan wanita berkenaan.

BACA: Izreen Azminda Selamat Bersalin Bayi Lelaki, Pilih Nama Andika Yusuf

Kata Izreen lagi, dia bukan saja memberikan seluar yang dipakai kepada wanita berkenaan sebaliknya turut menyerahkan beg tangan serta barangan berharga lain.

“Masa kejadian itu saya di tandas sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur, ada orang datang calit gincu dekat seluar saya.

“Dia kata boleh tolong cuci dan saya terus buka seluar beri pada dia. Kemudian dia bagi pula ‘skirt’ dia kepada saya. Bukan setakat seluar tapi sekali dengan beg tangan saya berikan kepada perempuan tersebut,” tulisnya.

Kongsi Izreen kejadian itu berlaku ketika dia masih belajar dan mengalami kerugian wang ringgit serta hilang dokumen peribadi.

Sementara itu, Izreen berkata dia masih ingat ketika itu berjalan kaki dengan memakai skirt yang menampakkan bahagian kakinya.

“Penyudahnya saya hilang beg tangan yang berisi duit, kad bank, kad pengenalan dan kad lesen memandu. Masa kena pukau saya masih belum bertudung dan berjalan di pusat beli belah itu memakai skirt dengan bulu kaki tak bercukur lagi.

“Mujur saya jumpa kawan yang memang saya menunggu sebelum itu. Dia tegur kenapa pakai skirt sampai nampak bulu kaki. Akhirnya barulah saya tersedar daripada dipukau. Tak lalu nak ingat balik,” katanya.

SUMBER: HibGlam

×