Iwan Kongsi Kisah Pernah Diejek Anak-Anak, Tak Mahu Berjumpa Dengannya

Pasti ramai yang masih ingat lagi dengan Raja Dangdut, Iwan Syahwan yang kini sudah meninggalkan dunia dangdut dan beralih ke muzik ketuhanan.

Baru-baru ini, menerusi sebuah video ceramah yang dimuat naik di saluran YouTube, Iwan berkongsikan pengalaman sedih pernah diejek oleh kedua anaknya iaitu Aprena Manrose dan Oktovia Manrose ketika mereka masih kecil.

BACA: Iwan Selalu Tarbiah Aprena & Oktovia, Syukur Sekarang Dah Berhijab

Menurut Iwan, kejadian itu berlaku ketika dia mahu bertemu dengan anak-anaknya selepas bercerai dengan bekas isterinya.

“Anak-anak menjadi asbab juga untuk saya berhijrah ke arah kebaikan. Saya masih ingat sewaktu anak-anak masih kecil, saya rindu sangat pada mereka.

“Bila rindu, saya datanglah ke rumah janda saya. Tapi tidak boleh masuk, hanya menunggu di depan pintu pagar.

“Bila saya panggil anak-anak (Wan Ramada, Aprena dan Oktovia) yang ketika itu berusia tujuh, lima dan tiga tahun, mereka keluar tapi bukan sebab hendak berjumpa saya, tapi untuk mengejek-ejek saya,” katanya.

Iwan berkata hatinya sangat sedih apabila anak-anaknya mengejek dengan menjelir lidah dan menepuk-nepuk punggung.

“Saya panggil mereka. Berjam-jam saya menunggu, tapi tidak dapat berjumpa,” katanya.

Menurut Iwan, kejadian yang berlaku itu sekaligus menjentik hatinya untuk berubah kerana resah memikirkan anak-anak tidak suka padanya.

“Tuhan hendak tunjuk. Anak sendiri tidak suka pada saya ketika mereka kecil. Saya balik dan mula resah. Ada anak pun mereka tidak suka dengan saya. Saya berfikir kalau saya mati bagaimana agaknya?” katanya.

Terdahulu, Iwan mendirikan rumah tangga bersama pelakon dan penerbit, Allahyarham Rosnah Mohd Noor selama lapan tahun dan dikurniakan tiga cahaya mata, Wan Ramada Agus Putra, Octovia dan Aprena.

×