“Its Blockout Bukan Makiout, Ingat Penulisan Kita Ada Dosa & Pahala”

Pelakon Mira Filzah menegaskan dia sering memuat naik perkongsian mengenai Palestin di media sosial sekaligus menafikan dakwaan netizen bahawa dia berdiam diri tentang perkara tersebut.

Menerusi perkongsian di X, Mira berkata pengikutnya pasti tahu mengenai kelantangannya berkongsikan mengenai kekejaman Zionis, malah turut menunjukkan bukti paling terbaru iaitu 10 Mei lalu dia ada memuat naik sebelum gerakan Blockout.

BACA: Mira Filzah Terpaksa Tinggalkan Anak 3 Bulan

“Siapa yang datang semata-mata nak ‘stalk’ (mengintip) sahaja rasa ‘dan dan’ kongsi. Siapa yang sudah lama ikuti akaun media sosial, mesti tahu apa yang saya selalu kongsi. Mari saya tunjuk ya.

“Sebelum 12 Mei, (sebelum trend boikot artis jadi viral) pada tarikh 7 hingga 10 Mei pun saya ada muat naik. Sejak Januari pun sudah muat naik, bukan ‘dan dan’ (tiba-tiba),” katanya.

Sementara itu, Mira turut menegur netizen agar menjaga kata-kata berkaitan gerakan boikot terhadap selebriti dan pempengaruh media sosial yang dilakukan di media sosial.

“Saya bercakap ini untuk semua. Lakukan apa sahaja yang anda mahu. Kalau ingin sekat, buatlah tetapi tidak perlu sampai keluarkan kata-kata yang tidak baik. Itu ‘blockout’ bukan ‘makiout’. Ingat, penulisan kita pun ada dosa dan pahala,” katanya.

Sejak beberapa hari lalu hangat diperkatakan mengenai gerakan Blockout2024 bagi memboikot selebriti yang berkerjasama dengan produk yang menyokong Zionis.

×