Berpeluang membuat persembahan pada majlis anugerah ABPBH 2014 yang cukup gemilang, Atilia dan ibunya, Salamiah Hassan, sangat teruja dengan perkara tersebut sehinggalah terjadinya masalah teknikal berikutan kegagalan mikrofonnya berfungsi.
BACA: Atilia Berhenti Tabiat Merokok Selepas Amal Yoga
“Secara jujurnya memang saya rasa terkilan kerana produksi tidak ambil berat tentang masalah teknikal seperti itu sehingga menjejaskan persembahan kami. Bukan senang saya dan mama dapat buat persembahan di pentas seperti itu, sesekali dapat begini pula jadinya”
“Jangan teralu ambil remeh tentang perkara melibatkan teknikal kerana ia boleh mencacatkan keseluruhan majlis. Sudah tentu saya sangat kecewa, saya kasihankan mama yang benar-benar teruja untuk beri persembahan terbaik malam itu,” ujarnya kepada mStar Online.
Atilia dan ibunya Salamiah Hassan tampil sebagai pasangan akhir dengan menyanyikan lagu Jelingan Manja selepas persembahan Ella bersama Korie dan Ayda Jebat bersama adiknya, Fina.
Bagaimanapun, mikrofon milik Atilia tidak berfungsi menyebabkan dia terpaksa berkongsi mikrofon bersama ibunya sepanjang menyanyikan lagu tersebut. Lebih mengecewakan, tiada siapa pun yang bertindak menyelamatkan keadaan dengan memberi mikrofon lain kepadanya untuk meneruskan nyanyian.
Apa-apa pun Atilia mengakui dia terharu dengan komen dan sokongan peminat yang menganggap tindakannya menyelamatkan keadaan dengan berkongsi mikrofon bersama ibunya sebagai profesional.
“Alhamdulillah persembahan itu tidak menerima kritikan, malah ada yang anggap kami sweet kerana berkongsi mikrofon. Namun saya berharap selepas ini pihak penganjur perlu ambil berat tentang perkara itu,” jelas Atilia lagi. (rtky/s)