“Ini Bukan Majlis Anugerah Sekolah, FINAS Tak Tahu Ada Kejutan”

Semalam, pelakon Nur Fazura terpalit dakwaan tidak menghormati artis lain apabila ‘mengheret’ suami, Fattah Amin untuk bersama naik ke pentas sebagai penyampai trofi pada malam anugerah Festival Filem Malaysia Ke-30 (FFM30). 

Susulan perkara itu, pengarah Datuk Hans Isaac menghantar kiriman mesej kepada Fazura meluahkan kekecewaan berkenaan penampilan pasangan suami isteri tersebut.

BACA: Hans Isaac Kesal Fazura Dedah Mesej Kepada Media

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham memberitahu pihak produksi tidak pernah berbincang mengenai penampilan pasangan pelakon itu pada malam anugerah tersebut.

“Astro tidak pernah berbincang apa-apa dengan FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) perihal kejutan ini. Saya sudah memeriksa dengan jawatankuasa FINAS dan FFM30, tiada persetujuan mengenai Fattah dan Fazura naik bersama untuk menyampaikan anugerah.

“Saya juga difahamkan ramai penggiat seni termasuk wartawan tidak bersetuju dengan tindakan menaikkan Fattah, ia seolah-olah tidak menghormati agenda majlis nasional seperti ini,” katanya kepada Harian Metro.

Ahmad Idham turut meminta pihak produksi iaitu Astro untuk tampil memberi surat tunjuk sebab dalam masa sama bertanggungjawab ke atas tindakan yang disifatkan tidak wajar berlaku dalam sejarah FFM

“Pihak produksi tidak menghormati FINAS walhal kami yang membayar kos produksi pada malam itu. Ini bukan majlis anugerah sekolah menengah yang boleh diubah sesuka hati,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Idham juga meminta Datuk Hans Isaac dan Fazura supaya tidak bersengketa sehingga laporan lengkap daripada Astro diterima FINAS. Katanya lagi, mungkin mereka sekadar mangsa permainan pihak tertentu yang ingin mencari publisiti murahan.

×