Penyanyi Illa Sabry mendedahkan dia pernah berdepan pengalaman berat badannya turun mendadak sehingga 12 kilogram gara-gara disihir.
Memetik Kosmo, Illa berkongsikan kejadian berlaku pada tahun 2012 dan merasakan dirinya hampir mati apabila lebih sebulan tidak dapat menjamah makanan.
BACA: Ning Baizura, Ronnie, Reshmonu, Liza Aziz Antara 14 Peserta Berentap Di GV11
“Ketika itu saya menjalanankan perniagaan pengiklanan, tiba-tiba saya sakit teruk dan muntah-muntah. Setiap makanan yang saya jamah pasti muntah kembali, sampai rasa nak mati. Berat badan pun turun sampai 12 kg,” katanya.
Sementara itu, Illa berkata pada awalnya dia menjangkakan menghidap penyakit batu karang namun selepas menjalani pemeriksaan dengan enam doktor kesihatannya baik sahaja.
“Saya memang fikir positif ingat sakit batu karang tetapi doktor kata batu karang saya terlalu kecil untuk saya sakit teruk sebegini. Akhirnya saya buat keputusan balik ke rumah ibu bapa, andai habis nyawa di sana pun saya reda.
“Bapa cuba berubat sendiri dan saya minum air penawar. Selepas kali kedua minum air itu saya muntahkan semua, saya sendiri tidak tahu apa yang keluar. Alhamdulillah, sejak itu saya sihat dan tidak sakit lagi,” katanya.
Tersingkir di minggu keenam konsert Gegar Vaganza, Illa berkata dia kembali kerana mahu melepaskan rasa rindu, namun menyerahkan pada takdir mengenai perjalanan seninya.
SUMBER: Kosmo