“Hubungan Kami Serius, Janna Sudah Jumpa Ibu Saya”

Hampir setahun menjalin hubungan cinta,  pelakon kacukan Melayu-Switzerland Dini Schatzmann mengakui dia mengharapkan agar hubungannya dengan Janna Nick akan sampai ke jinjang pelamin.

Menurut Dini, hubungannya dengan Janna serius dan Janna juga sudah beberapa kali bertemu dengan ibunya. Namun, Dini berkata hubungan mereka masih lagi di peringkat awal dan jika ada berita gembira pasti mereka akan kongsikan kelak.

BACA: Netizen Dakwa Janna Nick Kahwin Lari Tahun Lalu Di Selatan Thai?

“Sudah tentu dalam hubungan serius, kami merancang untuk ke peringkat perkahwinan. Bagaimanapun, apa yang boleh dikatakan, hubungan masih pada peringkat awal dan hanya mampu merancang.

“Sekiranya semuanya ditetapkan, pasti saya akan berkongsi berita gembira ini. Janna juga sudah beberapa kali menemui ibu saya,” katanya kepada BH Online.

Mengulas mengenai dakwaan mengatakan mereka kahwin lari di selatan Thailand, Dini berkata dia dan Janna tidak terkesan dengan kontroversi itu. Bagaimanapun, Dini akui kesal dengan pihak yang berniat jahat mahu menjatuhkan nama baik mereka.

“Jika ditanya mengenai reaksi saya, saya tidak ada sebarang reaksi. Kami belum berkahwin seperti yang didakwa. Saya tidak terkesan dengan dakwaan berkenaan.

“Lagi pula, ia dilakukan akaun palsu yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita ini, jadi mengapa kami perlu terkesan. Bagaimanapun, saya kesal ada yang berniat jahat mahu menjatuhkan reputasi dan nama baik saya dan Janna pada bulan Ramadan.

“Kekecohan ini berlaku pada malam pertama Ramadan. Saya terkejut dan tak menyangka ada orang yang ingin membuka buku amalan pada bulan mulia dengan melakukan fitnah,” katanya.

×