fbpx

Komposer dan penulis lirik, Saari Amri tidak setuju dengan tindakan Datuk Hattan ‘sekolahkan’ penyampai berita ketika siaran langsung baru-baru ini.

Memetik mStar Online, komposer itu berkata penyanyi itu sepatutnya lebih menjaga percakapan apatah lagi mempunyai gelaran Datuk.

BACA: Tauke Jambu Tak Setuju Hattan Digesa Buat Permohonan Maaf  

“Cara dia cakap tu memang brutal.. dia pernah pergi haji, ada gelaran Datuk. Sepatutnya kawal sikit cara percakapan tu. Jangan fikir dia tu ‘star’, cakap ikut sedap mulut je,” katanya.

Sementara itu, Saari berkata Hattan sememangnya mempunyai karakter tidak bertapis dan itu sememangnya cara penyanyi itu.

“Saya sudah lama kenal Hattan dan tahu bagaimana karakternya… mulutnya memang ‘laser’ dan tidak bertapis. Pada saya, itu cara dia. Tapi kalau kita jenis berfikir dan matang, cakap tu sepatutnya sopan sikitlah,” katanya.

Dalam pada itu, Saari menyifatkan Hattan tidak perlu membuat permohonan maaf kerana ia boleh mencalarkan imej serta reputasinya sebagai penyanyi senior.

“Bagi saya dia tak perlu minta maaf sebab itu memang gaya dia, lagipun kalau dia buat permohonan maaf kejantanannya akan tercabar… jadi lebih baik diam sahaja. Secara peribadi dia (Hattan) memang seorang yang susah nak minta maaf,” katanya.

Dalam pada itu, Saari berkata dia tidak berkecil hati apabila disangka sudah meninggal dunia oleh penyampai berita itu dalam temu bual berkenaan.

“Apabila pembaca berita itu menyebut nama saya, terkejut juga tapi tak sangka masih ada orang ingat saya lagi. Tiada masalah atau terguris hati walaupun nama saya tersalah sebut oleh pembaca berita itu yang menganggap saya sudah tiada. Saya rasa bangga pula sebab sekurang-kurangnya ada yang mengenali Saari Amri,” katanya.