“Hamdan Cuba Buka Mata, Gerakkan Bibir” – Isteri

Selepas beberapa hari ditidurkan, keadaan kesihatan pelawak yang juga anggota kumpulan Senario, Hamdan kini menunjukkan perkembangan positif.

Memetik Harian Metro, isterinya Norhamalini Ahmed berkata ketika melawat Hamdan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) petang semalam, suaminya cuba mengerdip mata dan menggerakkan bibir.

BACA: “Jaga Hati Isteri, Dia Sediakan Makanan & Jaga Anak-Anak Kita” – Azlee Senario

“Semalam jam 4.30 petang, saya melawat suami dan bisik di telinganya. Alhamdulillah ada tindak balas . Dia cuba buka mata dan gerakkan bibir.

“Doktor cakap dos ubat yang diberikan suami sudah berkurangan, jadi kalau hari ini keadaan suami terus positif mungkin doktor tidak tambah dos ubat. InshaAllah, saya yakin dia boleh sedar. Saya mohon doa rakyat Malaysia untuk Hamdan,” katanya.

Semalam, keadaan Hamdan dilaporkan kritikal selepas ditidurkan akibat mengalami komplikasi buah pinggang.

Difahamkan, Hamdan tiba di Johor pada Sabtu lalu bagi membuat persembahan bersama anggota Senario sempena ulang tahun ke-27 Senario namun tidak dapat turut serta selepas mengalami demam dan terjatuh.

×