Seorang gitaris sebuah kumpulan dan juga komposer ditahan polis selepas dipercayai memukul jiran kerana perselisihan faham berkaitan pintu bilik air di sebuah rumah sewa di Pandan Indah, semalam.
Memetik Harian Metro, sumber memberitahu dalam kejadian berlaku pada 6.30 pagi itu pada 30 Jun lalu, mangsa berusia 50-an yang sedang tidur di bilik sewa rumahnya terdengar bunyi bilik air dihempas kuat oleh suspek.
“Mangsa yang tidak berpuas hati keluar dan menghempas semula pintu itu menyebabkan komposer berusia 46 tahun itu yang menyewa di bilik sebelah mangsa keluar semula.
“Mangsa kemudian diserang oleh suspek dengan batang dipercayai pemegang gitar,” katanya.
Akibat serangan itu, mangsa yang bekerja sebagai tukang masak cedera di lengan dan mendapatkan rawatan di Hospital Ampang sebelum membuat laporan polis.
“Susulan itu, polis kemudian menahan suspek semalam,” katanya.
Sumber: Harian Metro