Fizz Fairuz: Saya Tak Percaya Pengasuh Kanak-Kanak

Akibat bimbang anaknya bakal menjadi mangsa penderaan jika membenarkan pengasuh menjaga anaknya, Fizz Fairuz mengakui dia lebih selesa menjaga anaknya sendiri dan tidak merancang untuk meletakkan Nur Afrina Arriana di mana-mana pusat asuhan atau pengasuh persendirian.

BACA: Fizz Fairuz Jawab Isu Tuduhan Majlis Akikah Mewah dan Membazir

“Saya tidak percaya kepada pengasuh lepas dengar macam-macam berita tentang penderaan bayi dan tak sanggup kalau perkara itu berlaku kepada anak kami. Lagi pula sekarang isteri saya masih bercuti berlakon, jadi dia boleh beri perhatian kepada anak,” jelasnya kepada mStar Online.

Selain itu, Fizz juga sempat berkongsi mengenai sambutan Aidilfitri kali ini yang disambut di Pahang terlebih dahulu sebelum pulang ke Pulau Pinang pada hari raya ketiga. Malah, dengan kehadiran cahaya mata pertama juga membuatkan pasangan ini cukup gembira.

“Tahun ini kami beraya bertiga memang seronok, persiapan lebih kepada anak, Almy pun dia beli apa yang perlu sahaja. Maklumlah apabila sudah bertiga ini, saya perlu bijak berbelanja dan buat persiapan yang perlu sahaja,” ujarnya. (rtky/s)

×