Fatwa akan terus memainkan peranan penting dalam membimbing umat Islam terhadap isu-isu semasa yang memerlukan panduan syariah, meskipun Mahkamah Persekutuan memihak kepada Sisters In Islam (SIS) dalam kes mencabar keabsahan fatwa berkaitan fahaman liberalisme dan pluralisme agama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, institusi fatwa tidak wajar dipertikai kerana ia menjadi antara tiang panduan utama umat Islam dalam kerangka perlembagaan negara.
“Saya ingin menegaskan bahawa fatwa tetap memainkan peranan penting dalam membimbing umat Islam dalam isu-isu semasa yang memerlukan panduan syariah,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Dr. Mohd Na’im, keputusan Mahkamah Persekutuan itu akan diteliti secara menyeluruh demi memastikan kedudukan dan kewibawaan institusi fatwa tidak terjejas dalam jangka panjang.
Beliau turut menggariskan pentingnya kerjasama antara institusi kehakiman, perundangan dan pihak berkuasa agama agar fungsi serta kedudukan institusi fatwa kekal dihormati.
“Kerajaan MADANI akan memastikan pentadbiran hal ehwal Islam di Malaysia dilaksanakan secara adil dan berlandaskan prinsip syura, ilmu serta berpaksikan lunas undang-undang negara,” katanya.
Menurut Dr. Mohd Na’im lagi, Kerajaan MADANI komited mempertahankan institusi agama Islam selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan pendirian kerajaan untuk menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan keputusan kehakiman yang telah dibuat.
“Saya menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan keputusan kehakiman yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan sebagai institusi kehakiman tertinggi dalam sistem perundangan negara,” katanya.
Pada 17 Julai 2014, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah mengeluarkan fatwa yang mengisytiharkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai bercanggah dengan ajaran Islam dan menyebut SIS sebagai antara pihak yang terlibat dengannya.
Pertubuhan itu kemudian mencabar fatwa berkenaan di mahkamah, dan keputusan hari ini menyatakan fatwa tersebut tidak boleh dikuatkuasakan terhadap entiti berdaftar di bawah Akta Syarikat.
Kes SIS: Apa Sebenarnya yang Mahkamah Putuskan?
Susulan keputusan Mahkamah Persekutuan, ramai yang keliru dan menyangka kononnya kerajaan telah membatalkan fatwa terhadap SIS. Hakikatnya, ini adalah keputusan Mahkamah, bukan tindakan kerajaan atau campur tangan politik.
Berikut ringkasan mudah tentang apa sebenarnya yang diputuskan oleh Mahkamah:
1. Fatwa MAIS kekal sah tetapi hanya untuk individu Muslim
Mahkamah mengesahkan bahawa fatwa berkenaan masih sah dari segi undang-undang, tetapi hanya terpakai kepada individu Muslim yang menganut atau mengamalkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama.
Ini kerana dalam Perlembagaan Persekutuan, istilah “orang Islam” hanya merujuk kepada manusia sebenar (natural person) dan bukan organisasi atau syarikat.
2. Fatwa tidak boleh dikenakan ke atas organisasi seperti SIS
Mahkamah menjelaskan bahawa sesebuah syarikat seperti SIS tidak boleh dianggap sebagai “orang Islam” kerana:
Syarikat tidak boleh mengucap dua kalimah syahadah, tidak boleh bersolat atau berpuasa dan tidak boleh bertaubat jika buat silap.
Oleh itu, jika ada pelanggaran terhadap kandungan fatwa, tanggungjawab itu hanya boleh diletakkan kepada individu dalam organisasi tersebut, bukan ke atas syarikat itu secara langsung.
3. Fatwa tidak sah jika melibatkan kuasa Kerajaan Persekutuan
Sebahagian kandungan fatwa yang mengarahkan agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menyekat laman web atau mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas buku dianggap tidak sah oleh Mahkamah.
Ini kerana: SKMM dan KDN berada di bawah Kerajaan Persekutuan dan Majlis Agama Islam Negeri (seperti MAIS) tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan agensi Persekutuan.
Oleh itu, walaupun fatwa itu masih relevan untuk umat Islam dari sudut panduan syariah, ia perlu disesuaikan dengan had kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang negara.
Kesimpulannya, keputusan Mahkamah ini bukan bermakna fatwa dibatalkan atau dipandang rendah, tetapi lebih kepada penegasan batas bidang kuasa antara institusi agama negeri dan agensi kerajaan persekutuan.
Yang penting, panduan syariah tetap utuh dan peranannya akan terus diperkasa dalam pentadbiran Islam di Malaysia.