Pelakon Ebby Yus berkata dia memerlukan kira-kira RM3,000 sebulan untuk komitmen sara hidup, rawatan kesihatan dan ubat-ubatan apatah lagi memerlukan kewangan yang besar tinggal di ibu kota.

Memetik Harian Metro, Ebby berkata sudah lebih empat bulan dia tidak bekerja kerana tiada tawaran. Katanya lagi, keadaan kesihatannya kini ada perubahan positif.

BACA: “Patutlah Rezeki Tak Putus…” – Netizen Puji Jep Sepahtu Ziarah Ebby Yus

“Buat masa ini, saya masih lagi tidak boleh bekerja dan kena berehat di rumah kerana masalah buah pinggang kronik ini. Malah, saya juga kena buat dialisis air sendiri sebanyak dua kali sehari di rumah.

“Alhamdulillah, keadaan kesihatan saya ada perubahan positif. Tapi, selagi tak boleh bekerja memang tidak dapat dielak masalah kewangan dihadapi. Terutama, untuk bayar sewa rumah, bil semasa dan beli ubat-ubatan saya,” katanya.

Sementara itu, Ebby berkata dia perlu ke hospital setiap dua minggu bagi berjumpa doktor pakar secara berkala dan membuat pemeriksaan lanjut untuk masalah buah pinggang dialaminya itu.

Dalam pada itu, Ebby meluahkan rasa syukur mendapat sumbangan bantuan kewangan daripada Yayasan Nurjiwa milik penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Jiwa.

“Syukur Alhamdulillah, memang saya ada dapat sumbangan kewangan daripada Yayasan Nurjiwa. Memang sangat terharu sebab saya dah lama tidak bekerja dan sumber kewangan pun memang terjejas.

“Terima kasih diucapkan atas keprihatinan rakan-rakan penggiat seni yang ambil tahu masalah kesihatan saya dan sudi hulurkan bantuan. Tapi, saya nak tawaran kerja kalau ada yang sesuai” katanya.

Kongsinya lagi, setakat ini dia mendapat bantuan kewangan bulanan daripada Baitulmal dan baru menghantar permohonan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

SUMBER: Harian Metro

×