Perkongsian seorang individu bernama Dr Azhari Zhahir menghiburkan ramia apabila menulis surat terbuka kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq agar dia mengahwini Bella Astillah.
Menerusi hantaran di Facebook itu, Dr Azhari berkata dia menjadi saksi ‘diam’ pada sebuah kisah cinta dimana Bella memberikan sokongan kepada Syed Saddiq serta sentiasa bersama sepanjang kes perbicaraan.
BACA: “Apa Yang Saya Lalui Kecil Saja, Banding Apa Yang Bella Lalui Sebelum Ini”
“Izinkan saya menulis warkah ini bukan sebagai rakyat marhaen semata-mata, tetapi sebagai saksi diam pada sebuah kisah cinta yang kami semua tumpang harap akhirnya bersulam akad.
“YB pasti tahu, dari mula mula lagi Bella selalu ada, saat dunia politik YB kian menggila, saat mahkamah jadi pentas sabar, saat Gunung Kinabalu hanya satu dari ribuan tangga yang kalian daki berdua.
“Bella ada, bukan sekadar bayang di belakang lensa kamera, tetapi nafas kedua yang membisikkan yakin, bahawa perjuangan YB bukan sia-sia,” tulisnya.
Lebih menjadi perhatian, individu tersebut turut mencadangkan Syed Saddiq untuk datang ke klinik miliknya untuk menjalani pemeriksaan mata jika pandangannya masih ‘kabur’.
“Tapi YB, jika sampai hari ini mata masih kabur melihat siapa Bella sebenarnya, datanglah ke Klinik Amani – Semenyih atau UNI Klinik Southville City
“Biar saya sorot retina mata YB dengan fundoscopy, mencari apakah silau terlalu kuat hingga pandangan tertutup oleh sorotan flash media dan politik, sedang di hadapan, berdiri seorang Bella yang hanya mahu YB genggam tangannya sampai ke Jannah.
“Jika dada YB masih berdebar tak menentu dan pasti, izinkan saya rentangkan sedikit wayar, rakam degupnya melalui ECG, lihat sendiri adakah ritma cinta ini masih normal sinus, atau sudah jatuh pada fibrilasi rindu yang tak berbalas,” tulisnya.
Dalam pada itu, individu tersebut turut memberitahu dia akan menjadi wakil orang ramai dengan bertanding di Muar untuk membela nasib Bella jika ahli parlimen itu kecewakan aktres berkenaan.
“Jika akhirnya YB memilih untuk mengecewakan Bella, membiarkan dia berdiri terlalu lama menanti akad yang tak kunjung tiba, maka dengan rendah hati tapi tekad membara, saya sendiri akan bertanding di Parlimen Muar.
“Bukan sekadar mahu menguburkan karier politik YB, tetapi agar saya sendiri dapat membela nasib Bella dengan cara paling gentleman seorang rakyat biasa boleh lakukan. Pasti, Akan saya ajak seluruh rakyat sabah, Pindah mengundi di Muar, semata-mata untuk jatuhkan YB,” tulisnya.
Sumber: FB Doc Azhari Zhahir