fbpx

Dituduh Tak Ingat Ayah, Anak To’ki Dedah Cerita Sebenar

Baru-baru ini tular mengenai kehidupan penyanyi terkenal era 90-an, To’ki yang tinggal di sebuah pondok usang di pinggir hutan. Namun, lain pula isu dibangkitkan netizen yang tertanya-tanya kemana anak-anak penyanyi itu dan mengapa tidak membantu bapa mereka.

Didakwa tidak ingat pada bapa kandung, anak kedua hasil daripada pernikahan To’ki dengan isteri terdahulu iaitu Noor Hidayah tampil bersuara. Tiada niat memburukkan, Hidayah berkata langkah itu diambil demi kepentingan ibu dan adik-beradiknya.

BACA: Ustaz Ebit Sebak Lihat Kehidupan Daif To’ki Tinggal Di Pondok Kecil

Menurut Hidayah kali pertama dan terakhir dia bertemu To’ki adalah ketika penyanyi tersebut menjadi wali nikahnya empat tahun yang lalu. Sejak bapadanya berpisah dengan ibunya sejak 16 tahun lalu, itu merupakan kali pertama dia menatap wajah To’ki.

“Orang cakap kami tidak ingat ayah dan lupa diri selepas hidup senang. Tapi mereka tidak tahu apa yang kami lalui sebelum ini.

“Saya harap apa yang saya luahkan ini dapat memberi penjelasan kepada orang ramai bahawa kami bukanlah seperti apa yang dianggap mereka,” katanya.

Mendedahkan kisah sedih kehidupan mereka bersama ibu selepas ditinggalkan ayah sejak 16 tahun lalu, Hidayah berkata ibunya selama ini yang bersusah payah mencari rezeki dan menghantar mereka ke sekolah dan universiti tanpa kehadiran ayah disisi ketika itu.

Hidayah berkata ketika zaman kegemilangan bapanya, ibu dan adik beradiknya ditinggalkan tanpa ada apa-apa. Ujarnya ketika itu bapanya sudah berkahwin dengan isteri baru dan tidak langsung mengejuk mereka apatah lagi memberi nafkah.

Bagaimanapun, Hidayah berkata dia dan adik beradik tidak pernah berdendam dan mendoakan yang terbaik buat ayah kandungnya itu. Ujarnya, apa yang dilalui bapanya itu mungkin salah satu dugaan atas apa yang dilakukan suatu ketika dahulu kepada mereka.

“Sudah tentu saya sedih melihat keadaan ayah, tapi itu jalan yang dia pilih. Mungkin itu juga dugaan atas apa yang dilakukan ke atas kami.

“Kami doakan yang terbaik buat ayah. Kami mahu ayah mendapat kehidupan yang lebih baik. Sebenarnya, kami semua selalu ingat pada ayah. Buruk macam mana pun, ayah tetap ayah kami,” katanya.

Dalam salah satu kenyataanya, To’ki telah meminta maaf kepada semua pihak yang pernah terguris kerananya pada masa lampau dan enggan memanjangkan lagi segala dakwaan-dakwaan yang dilakukan oleh orang ramai.

Hasil perkahwinan terdahulu, To’ki mempunyai lima orang anak.  Anak sulungnya kini berusia 28 tahun iaitu Mohd Hafizi, Noor Hidayah,27, Noor Husna,22, Noor Aishah,21, dan Mohd Hairi Hanis, 18.