fbpx

Dipukul, Ditumbuk & Diugut Bunuh, Mak Wan Lapor Polis

Pelakon veteran Mak Wan Latah membuat laporan polis terhadap seorang wanita yang juga kenalan rapatnya kerana sudah tidak mampu menahan sabar dan ingin mempertahankan maruahnya.

Memetik Kosmo, membuat laporan polis di Taiping, Perak, Mak Wan berkata wanita itu pernah memukul dan menendangnya serta mengugut mahu membunuhnya.

BACA: “Yang Saya Baca-Baca Itu Untuk Shooting” – Mak Wan

“Sudah lama saya diamkan. Kelakuan kasarnya terhadap saya baharu saja saya laporkan kepada polis. Banyak kali dia buat. Pukul, tendang, tumbuk dan baling kepala saya dengan botol Coke yang masih penuh air.

“Perbuatan itu dia lakukan dalam tahun ini. Saya takut nak melawan atau mengadu kepada orang lain, tambahan pula telefon (bimbit) saya dia pegang.

“Sebenarnya, malam sebelum nak bergerak ke Genting Highlands menjalani penggambaran, saya baharu kena pukul. Masa itu kami berada di Taiping,” katanya.

Tambah Mak Wan lagi, dalam laporan yang dibuat turut disertakan semua bukti dan pernah dipukul dihadapan ibu kepada wanita berkenaan.

“Kali terakhir dia pukul saya di depan ramai saksi termasuk emak dia. Mak dia kata itu baru sikit. Apa pun semua bukti saya sudah sertakan dalam laporan polis,” katanya.

Minggu lalu hangat diperkatakan apabila wanita itu memuat naik video pelakon itu seakan sedang membaca mentera.

Bagaimanapun, Mak Wan menafikan melakukan perbuatan khurafat, sebaliknya ia adalah rakaman lama dia sedang melakukan latihan untuk sebuah drama.

Video yang kononnya saya baca mentera itu pun dia yang rakam sendiri, bukan ambil curi-curi pun. Saya yang bodoh sebab mengikut saja. Sekarang dia fitnah saya buat kerja syirik gunakan video berkenaan.

“Drama berjudul Pelaris itu pun sudah lama dan sudah disiarkan. Kalau dia terus nak bercakap pasal itu, biarkanlah. Benda tak betul, dia pun tahu.

“Saya pun sedang kumpul bukti dan akan buat laporan polis pasal fitnah pula. Doakan saya terus kuat,” katanya.

Sementara itu, Mak Wan berkata wanita berkenaan turut berhutang membeli almari dan katil menggunakan namanya.