fbpx

Didie Alias Anjur Lefest Tour Bukan Untuk Bersaing

Peka dengan kehendak dan juga keperluan rakyat Malaysia, kehadiran Lefest Tour di bawah perancangan Didie Alias dan juga pasukan ternyata memberi nafas baru kepada penganjuran karnival di Malaysia.

Malah menurut Didie sendiri, apa yang mereka lakukan kini adalah untuk lebih dekat dengan masyarakat. Malah strategi Lefest Tour mengadakan karnival di kawasan berhampiran peminat ternyata memberi kelebihan kepada orang ramai untuk sama sama merasai kemeriahan karnival ini.

“Karnival Lefest Tour ini kami buat memang harga yang mampu milik belaka. Ada pelbagai produk berasaskan fesyen, barangan kecantikan dan juga makanan. Memang meriah habis setiap kali kami menjelajah dengan karnival ini”

“Pada 24 hingga 26 Mac nanti, Lefest Tour akan diadakan di Stadium Negeri Kuala Terengganu dan lebih 200 usahawan serta barisan selebriti akan diadakan di sini. Apa yang menarik, karnival yang diadakan di sini memang boleh bawa keluarga,” katanya.

Untuk karnival di Terengganu nanti, Lefest Tour akan turut dimeriahkan lagi dengan persembahan Aiman Tino. Fuh, memang ramailah datang nanti nampaknya.

Tambah Didie, karnival yang berlangsung ini bukanlah berniat untuk bersaing dengan penganjuran karnival dari pihak lain. Apa yang diharapkan adalah karnival ini mampu memberi sokongan kepada vendor yang ada. Jika diikutkan, ini merupakan kali keempat Lefest Tour dan ternyata kini ia memberi harapan untuk dibawa ke beberapa lokasi terbaru di masa hadapan.

Apa yang lebih menarik lagi, sambutan yang menggalakkan dari setiap karnival membuatkan Lefest Tour merancang untuk mengadakan karnival jelajah ini ke Kota Kinabalu dan turut mendapat kerjasama RTM dan juga Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).