Semalam, industri hiburan tanah air dikejutkan dengan berita pemergian penyanyi dan pelakon Nabil Zamanhuri akibat serangan jantung. 

Memetik mStar Online, perkara tersebut disahkan oleh ibu arwah iaitu Fatimah Abdullah yang berkongsi hasil laporan bedah siasat. Menurntya lagi, kesibukan kerja dan tidak menjaga pemakanan dengan baik mungkin menjadi faktor.

“Hasil post-moterm mungkin berpunca daripada gaya hidup tidak sihat, terlalu sibuk bekerja dan tekanan. Jika dia mengubah gaya hidup sihat mungkin perkara ini dapat dibendung.  Arwah memang ada niat nak buat pemeriksaan kesihatan tetapi apakan daya tak sempat,” katanya.

Sementara itu, Fatimah berkata beberapa hari lalu Nabil ada menunjukkan tanda-tanda tidak sihat seperti sakit perut dan sukat bernafas namun arwah mungkin tidak sedar petanda itu mengundang masalah pada kesihatannya.

“Beberapa hari lepas dia ada cakap tak sedap perut malah tidur pun terpaksa letak bantal di bahagian belakang sebab sukar bernafas akibat hidung tersumbat. Mungkin petanda itu sudah ada, tapi sudah masanya dia pergi dan sebagai ibu saya reda,” katanya.

Dalam pada itu, Fatimah menyifatkan anaknya itu seorang yang taat dan pendengar setia. Malah, Fatimah berkata arwah juga sentiasa ada apabila meminta pertolongan.

“Dia seorang anak yang taat dan pendengar setia. Dia seorang family man. Kalau saya minta tolong, cepat saja dia sampai ke rumah saya. Dia selalu nasihati saya untuk banyak bersabar. Kalau dia tidak sibuk, dia selalu datang ke rumah saya untuk menonton filem bersama,” katanya.

SUMBER: mStar Online

×