“Dia Kahwin Lain Pun Tak Minta Izin Saya”

Baru-baru ini pendedahan bekas suami kepada pelakon Farisha Irwayu iaitu pendakwah Datuk Tuan Asmawi Umar mengejutkan ramai apabila memberitahu sudah 6 tahun dia tidur di ruang tamu serta tidak dilayan sebagai suami.

Menjawab mengenai dakwaan bekas suaminya itu, Farisha berkata ianya berlaku selepas dia itu mendapat tahu pendakwah itu berkahwin lagi di Thailand tahun lalu.

BACA: Bekas Suami Dedah 6 Tahun Tidur Di Ruang Tamu, Farisha Irwayu Geli Tidur Bersama

Farisha mendedahkan dia hanya mendapat tahu suaminya kahwin lain pada Hari Raya yang lalu apabila diberitahu oleh rakan-rakan.

“Dia pun tahu sebab apa dia tidur dekat ‘hall’ (ruang tamu). Saya baru dapat tahu Aidilfitri lalu. Kawan-kawan beritahu, suami saya dah kahwin lain dan tanya saya tahukah? Saya jawab tak tahu pun. Patutlah tak balik rumah, sebulan balik, sekejap balik, sekejap tak balik,” katanya.

Menurut Farisha lagi, ketika bergelar suami isteri mereka sudah lama tidak berkomunikasi dan bekas suaminya berkahwin lain tidak meminta izin daripadanya.

“Kahwin, tapi masing-masing macam buat hal sendiri. Dia kahwin lain pun tak minta izin dengan saya. Tak ada minta izin nak berpoligami.

“Ini pun saya dengar daripada orang sebab dia sudah memperkenalkan isteri baharunya kepada kawan-kawan artis, ramai orang-orang produksi dah nampak. Keluarga saya sendiri pun nampak.

“Jadi, saya fikir daripada kita terus tidak bercakap dan dia pun dah ada orang lain dalam hidup, kita selesaikanlah. Saya pula memang jenis yang tak boleh nak kongsi suami,” katanya.

Dalam pada itu, Farisha berkata dia turut memujuk bekas suaminya dan bercakap elok-elok untuk menyelesaikan perkara tersebut serta sedia untuk melepaskannya secara baik serta menafikan dakwaan dia paksa untuk bercerai.

“Saya cakap awak pun dah ada isteri lain, dah ada rumah lain. Baik awak teruskan saja dengan isteri baru awak, lepaskan saya. Lepas itu dia cakap okey. Dia tak banyak cakap, dia tahu dia salah agaknya. Jadi dia kata okey sajalah. Tak timbul isu macam dia cakap saya paksa dia bercerai. Tak ada.

“Janganlah menipu. Awak itu ustaz kan. Kena cakap berterus-terang. Saya cakap dia bincang dengan dia elok saja. Tak pernah nak cakap kasar, nak paksa-paksa. Tak ada,” katanya.

Tambah Farisha lagi, bekas suaminya tidak mampu untuk beristeri dua dan dia membuat keputusan untuk mengundurkan diri serta berharap Asmawi berbahagia dengan isteri baru.

“Saya kata saya undur diri. Saya okey saja. Lagipun kita tak ‘happy’ (gembira) hidup bersama. Lagipun awak tak berkemampuan untuk beristeri dua. Jadi, saya lepaskan. Awak ambil semuanya. Saya tak kisah, awak bahagialah dengan isteri baru awak,” katanya.

SUMBER: Harian Metro

×