fbpx

Di Sekitar Majlis Pernikahan Izara Aishah, Adib Khalid

Pelakon Izara Aishah, 25 telah selamat bergelar isteri kepada Muhammad Adib Khalid yang juga merupakan anak tiri kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan sekali lafaz tepat jam 9.00 malam tadi.

Pasangan itu dinikahkan bapa saudara Izara Aishah iaitu Mohd Rosli dengan disaksikan oleh Ustaz Mohd Jazlan Ali.

Pada majlis yang diadakan di sebuah lokasi perkahwinan di Damansara itu, Izara menerima mas kahwin RM700 berserta lima dulang hantaran daripada pihak lelaki. Wang hantaran pula dirahsiakan. Sementara itu, Izara membalas dengan tujuh dulang.

Majlis itu dihadiri lebih 500 tetamu terdiri daripada keluarga kedua belah pihak, rakan artis dan sahabat handai.

Terdahulu pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 7 Julai lalu selepas bercinta selama tiga tahun. Pasangan ini turut diraikan dalam majlis resepsi sebelah pihak perempuan sesuai acara akad nikah.

Majlis yang mendapat sentuhan daripada perancang perkahwinan GlamWeddings itu turut diserikan dengan persembahan nyanyian daripada penyanyi popular tanah air Marsha Milan dan Kilafairy.

Busana kedua mempelai mendapat sentuhan pereka fesyen terkenal Dato’ Rizalman Ibrahim serta barang kemas daripada Habib. Tatarias pula oleh Khir Khalid.

Antara rakan artis yang hadir seperti Scha Alyahya, Awal Ashaari, Osman Ali, Ghaz Abu Bakar, Azira Shafinaz dan ramai lagi. (rtky/h)

Gambar Oleh: Instagram @shahrizanshafie