Deklarasi KL 2025 Perlu Utama Peranan ASEAN Di Pentas Global

Menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada Isnin dan Selasa ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, perhatian kini tertumpu kepada satu dokumen penting yang menjadi titik perubahan iaitu Deklarasi Kuala Lumpur 2025.

Tidak hanya sebagai tuan rumah, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN membawa misi penting untuk membentuk hala tuju serantau yang lebih tegas, bersedia dan progresif menjelang tahun 2045 menerusi deklarasi berkenaan.

Hal ini kerana Deklarasi Kuala Lumpur 2025 bakal menjadi pelan tindakan jangka panjang untuk membentuk rangka kerjasama serantau lebih tersusun, seiring prinsip inklusif dan kepelbagaian yang menjadi kekuatan ASEAN sejak penubuhannya.

Geostrategis, Dr Azmi Hassan menjangkakan kandungan utama Deklarasi Kuala Lumpur 2025 akan memberi tumpuan kepada peranan lebih aktif ASEAN di pentas global dan tidak lagi terhad dalam ruang lingkup isu yang melingkari negara anggota.

Katanya, ia berdasarkan keutamaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperjuangkan konsep ASEAN centrality iaitu ASEAN yang mengambil tahu dan bertindak dalam hal dalaman dan luaran organisasi.

Tegasnya, dalam jangka masa panjang, perkara itu akan menjadikan ASEAN sebagai gabungan negara yang lebih dihormati di peringkat dunia.

Dr Azmi Hassan



“Datuk Seri Anwar sering memperjuangkan ASEAN centrality iaitu ASEAN mengambil tahu, mengambil tanggungjawab dan mengambil tindakan terhadap apa apa yang berlaku bukan sahaja dalam organisasi itu seperti demokrasi di Mynamar tetapi di luar ASEAN.

“Terkini, konflik Pakistan-India, Perdana Menteri sebagai Pengerusi ASEAN menawarkan diri sebagai perantara.

“Ataupun dalam hal ekonomi seperti perang tarif, Datuk Seri Anwar berkata perlu ada satu suara ASEAN dalam hal ini,” katanya kepada Rotikaya.

Pun begitu, Dr Azmi yang juga Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) berkata sebelum ASEAN menjadi organisasi yang dihormati, konsep ASEAN centrality itu perlulah dihayati oleh kesemua negara anggota ASEAN.

“Deklarasi bagi sidang kemuncak adalah sangat penting kerana ia dianggap kenyataan bersama ataupun communique yang dipersetujui oleh semua semua negara ahli.

“Jadi itu yang saya anggap kandungan penting dan matlamat utama Datuk Seri Anwar supaya ASEAN itu lebih terlibat dalam isu antarabangsa.

“Tidak hanya di ASEAN tetapi isu antarabangsa umpamanya konflik India-Pakistan, perang Ukraine dan isu Gaza perlu diambil tahu dan memerlukan penglibatan ASEAN secara menyeluruh,” katanya.

Perdana Menteri dalam taklimat kepada ketua-ketua pengarang media pada Khamis memberi gambaran Deklarasi Kuala Lumpur 2025 memberi tumpuan kepada tadbir urus serantau yang lebih efisien, transformasi digital menyeluruh dan kesiapsiagaan strategik.

Beliau turut menegaskan deklarasi itu bukan sekadar kenyataan politik, tetapi satu komitmen bersama untuk bergerak dari “cakap-cakap” kepada tindakan konkrit.

Tekad itu menunjukkan Malaysia sebagai pengemudi Visi ASEAN 2045 mahu organisasi itu kekal relevan malah berani mencorak masa depan serta tidak ketinggalan dalam arus global.

Antara yang diperjuangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ASEAN ialah konsep ASEAN centrality.


Deklarasi Kuala Lumpur 2025 juga merupakan kesinambungan dan penambahbaikan daripada Deklarasi Kuala Lumpur 2005, yang ketika itu menjadi asas pembentukan Komuniti ASEAN.

Dalam kata lain, Deklarasi Kuala Lumpur 2025 menandakan bermulanya fasa kematangan ASEAN.

Jika 2005 ialah “permulaan sebuah rumah”, maka 2025 adalah waktu untuk mengubah suai, kukuhkan struktur dan menambah baik reka bentuk rumah itu supaya tahan cabaran masa depan.

Kedua-dua deklarasi itu membawa nama yang sama dan lahir di tempat yang sama, tetapi konteks, cabaran, dan aspirasinya berbeza mengikut zaman.

Kesinambungan dua deklarasi menjadi bukti kemampuan kepemimpinan Malaysia sebagai negara membangun yang aktif, berwibawa dan berwawasan di pentas ASEAN mahupun dunia.

Ia tidak sekadar deklarasi, tetapi membina citra Malaysia sebagai pemacu konsensus serantau yang berpaksikan prinsip keseimbangan, kedaulatan dan kestabilan.

×