Tindakan David Teo semalam yang dilihat biadap dan tidak menghormati majlis yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memang mendapat kecaman hebat. Susulan itu Presiden Gerakan Memartabatkan Pejuang Negara, Mejar (B) Razali Zakaria memohon David memohon maaf.

BACA: “Saya Tak Menyesal Tampar David Teo”

“Kita menggesa David supaya memohon maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia kerana telah bersikap biadab di dalam program Perdana Menteri. Permohonan maaf ini perlu dilakukannya dalam tempoh tiga hari”

“Satu tindakan juga perlu diambil kepada David sebagai pengajaran terhadap semua orang tidak kira lapisan bangsa supaya jangan biadab kepada Perdana Menteri terutama dalam majlis rasmi,” katanya kepada Berita Harian Online.

Dalam masa yang sama, pihaknya juga mahu Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengambil tindakan tegas terhadap David sebagai pengajaran. Menyifatkan tindakan itu memalukan, Razali turut meminta Kementerian Pertahanan menarik pangkat Mejar yang diberikan kepada David.

Sementara itu, dalam laporan lain pula, ekoran video Mat Over menampar David ketika Sesi Dialog Tranformasi Nasional 2050 (TN50) bersama Penggiat Seni di Seri Perdana semalam, pihak polis bakal menjalankan siasatan berhubung kekecohan yang berlaku. (rtky/w)