Ramai sebenarnya sudah berkira-kira untuk melancong ke luar negara setelah tamat pandemik COVID-19 yang sedang melanda seluruh dunia ketika ini. Walaupun entah bila ianya akan berakhir, keinginan mahu ke luar negara untuk bercuti semakin menebal dalam diri.
Sementara menunggu saat itu tiba, apa kata kita semua yang mampu untuk mengumpul dana bercuti ke luar negara mula membantu ekonomi negara dengan mengutamakan barangan buatan Malaysia ketika membeli-belah.
Tolong ye. belilah barangan buatan Malaysia. Isi minyak Petronas, melancong dalam negara. Kita tolong ekonomi negara stabil balik.
— abg manis (@iwanqais) June 12, 2020
Tidak kira sama ada melalui platform e-dagang atau pun di kedai runcit, kita sebagai rakyat Malaysia harus mendahulukan produk tempatan untuk dijadikan kegunaan harian sebelum memikirkan alternatif produk dari luar negara.
Selain membantu menggerakkan semula ekonomi negara, kami pasti ramai akan terkejut dengan kualiti barangan tempatan yang ada di pasaran. Jenama seperti PappaRich, Munchy’s, Getha dan Khind antara pengeluar barangan buatan Malaysia yang berkualiti tinggi.
Kerajaan menerusi inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) juga bakal menyokong usaha rakyat untuk membeli produk tempatan dengan menempatkan kategori khas pada platform e-dagang seperti Shopee dan Lazada untuk mempamerkan barangan buatan Malaysia dengan lebih kerap.
Jangan kita malu untuk gunakan produk buatan tempatan, banyak yang di luar sana mampu menandingi kualiti produk berjenama luar negara. (rtky/m)