“Dalam Kelas Saya Kenalkan Diri Sebagai Miss Najwa”

Kembali bergelar pensyarah di sebuah pusat pengajian sejak Oktober lalu, penyanyi Najwa Latif berkata dia sentiasa profesional di dalam kelas.

Memetik Utusan Online, Najwa berkata tiada pelajar yang bertanya mengenai soal peribadinya sebagai artis, malah dia perkenalkan diri sebagai Miss Najwa.

BACA: “Allah Bagi Pinjam 5 Minggu” – Najwa Latif Keguguran

“Saya tidak pasti sama ada mereka kenal saya atau tidak. Dalam kelas pun saya kenalkan diri sebagai Miss Najwa. Muka mereka nampak biasa sahaja. Tapi saya profesional sahaja, sebab baru masuk,” selorohnya.

Sementara itu, Najwa turut mengesahkan dia kini berkhidmat di Pusat Asasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dengkil sejak Oktober lalu.

Menurut Najwa dia mengajar program Teaching of English as a Second Language (TESL) di universiti berkenaan serta mengakui terkejut maklumat tersebut tular, namun dia tidak marah.

“Saya tidak tahu bagaimana orang boleh jumpa maklumat saya kembali bergelar pensyarah. Saya terkejut sahaja tapi tidak marah, kerana apa yang tular itu memang sudah tertera di dalam portal.

“Sekarang saya mengajar di UITM tapi masih terlalu awal untuk ceritakan pengalaman susah senang. Baru jumpa pelajar sebulan, mereka terus duduki peperiksaan dan cuti.

“Sebelum ini saya mengajar di Universiti Selangor (Unisel) tapi berhenti setahun lalu bagi memberi fokus kepada ijazah Doktor Falsafah,” katanya.

SUMBER: Utusan Online

×