CEO Batu Didakwa Lagi Atas Pertuduhan Simpan Video, Gambar Lucah

Kuala Lumpur, 11 Julai (Bernama) — Selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang atas pertuduhan melakukan amang seksual, pempengaruh media sosial dikenali sebagai “CEO Batu” didakwa lagi, kali ini di Mahkamah Majistret Selayang hari ini atas pertuduhan menyimpan video dan gambar lucah dalam telefon bimbitnya, dua bulan lepas.

CEO Batu atau nama sebenarnya Muhamad Iqbal Muhamad Nor, 22, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyimpan video dan gambar lucah di dalam simpanan galeri telefon bimbit miliknya pada 11.39 pagi, 22 Mei lepas di Pejabat Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 292 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Birr Zamier Abu Bakar menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Nabil Ashraff Ridzuan yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan minimum dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap selain dia mempunyai masalah saraf akibat kemalangan.

“Anak guam saya sebelum ini bekerja sebagai pempengaruh media sosial dengan pendapatan kira-kira RM3,000, namun sejak kes ini dia hilang punca pendapatan kerana banyak kontrak untuk tujuan kandungan telah ditamatkan.

“Dia juga membantu keluarganya, bapa kepada tertuduh bekerja sebagai pekerja kilang selain anak guam tinggal bersama keluarga termasuk datuk dan nenek, masing-masing berumur 74 dan 77 tahun,” katanya yang mengendalikan kes bersama peguam Muhammad Zulhaniff Mohamed Anas.

Majistret Chai Guan Hock membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Sept ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

Semalam, Muhamad Iqbal didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun dan dituduh mengikut Seksyen 15(a)(1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sumber: Bernama

×