Baru-baru ini, syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd telah merasmikan taman sukan dan rekreasinya, IWK Eco Park @ Pantai Dalam, yang terletak kira-kira 10 kilometer dari pusat bandar Kuala Lumpur.
IWK Eco Park @ Pantai Dalam menawarkan dewan komuniti serbaguna untuk perayaan, majlis, acara korporat, bilik mesyuarat, kawasan untuk berkelah dan BBQ, trek joging dan berbasikal, serta pelbagai kemudahan sukan termasuk gelanggang badminton, futsal, tenis, sepak takraw dan banyak lagi.
Selain itu, banyak juga kemudahan disediakan untuk memudahkan pengunjung termasuklah parkir kereta yang bertutup dan percuma, surau, dan tandas
Ia menggabungkan seni landskap dan reka bentuk kejuruteraan yang meliputi kawasan seluas 12 hektar beserta pelbagai kemudahan yang dikelilingi kehijauan alam. IWK Eco Park ini dibina di atas Loji Rawatan Kumbahan (LRK) yang moden dan terbesar di rantau Asia Pasifik iaitu Loji Rawatan Kumbahan Serantau Pantai 2 (RSTP2).
IWK Eco Park yang telah dirasmikan oleh YB Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi dan Digital, merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai dijangka bakal menerima permintaan yang tinggidaripada orang awam memandangkan lokasinya yang strategik di samping menawarkan pelbagai kemudahan sukan dan rekreasi.
“IWK Eco Park sering menjadi pilihan bagi saya menjalankan apa jua aktiviti kemasyarakatan bersama rakyat di sini sejak saya memegang amanah sebagai Ahli Parlimen pada tahun 2018. Ruang ini sesuai untuk semua jenis aktiviti dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada IWK atas segala inisiatif yang telah dan akan dijalankan di IWK Eco Park @ Pantai Dalam”, kata YB Fahmi Fadzil.
Menurut Narendran Maniam, Ketua Pegawai Eksekutif IWK, “Pelancaran ini menandakan satu peristiwa penting kerana usaha penambahbaikan di taman ini telah hampir siap bagi keselesaan pengunjung, yang seterusnya dapat merasai pengalaman menarik di sini. Kami turut teruja untuk memaklumkan bahawa taman ini telah pun dibuka sepenuhnya kepada orang ramai bagi menikmati segala kemudahan yang disediakan.”
“Pelbagai jenis pokok hutan dan spesis burung yang unik dapat anda lihat di sini. Tempat ini sesuai dikunjungi orang awam, agensi kerajaan, syarikat swasta atau individu untuk berekreasi.Kami turut komited dalam menjayakan konsep Malaysia Madani melalui penyediaan tapak perniagaan bagi memberi peluang kepada peniaga kecil menjana pendapatan di sini”, tambah Narendran Maniam.
Untuk maklumat lanjut mengenai IWK Eco Park @ Pantai Dalam atau membuat tempahan untuk sebarang kemudahan sukan atau rekreasi, sila layari www.ecopark.iwk.com.my atau hubungi 03-22 420 420.