Bella Astillah Terima Anugerah Ikon Ibu Muda

Tahniah diucapkan buat pelakon dan penyanyi Bella Astillah menerima Anugerah Ikon Ibu Muda sempena Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2025.

Dalam majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini, Bella menerima anugerah berbentuk sijil, selempang dan sejambak bunga itu disampaikan isteri kepada Yang di Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Faridah Tussin.

BACA: “Walaupun Baru Sementara Kenal Bella, Tapi Rasa Macam Selamanya” – Syed Saddiq

Turut berada di majlis tersebut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri dan isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Juliah Salag.

Memetik BH Online, Bella seolah tidak percaya apabila dimaklumkan menjadi penerima anugerah berkenaan apatah lagi dia merasakan ramai lagi yang lebih layak.

“Pada awalnya, saya macam tidak percaya jadi saya tanya pada pengurusan, mereka mengatakan memang betul saya diberi anugerah (Ikon Ibu Muda). Saya cukup gembira dan ia perasaan yang tidak dapat digambarkan.

“Sudah tentu saya rasa lebih ramai yang layak (menerima anugerah itu) tapi mungkin ini rezeki saya dan juga anak-anak. Saya betul-betul ‘speechles’ (kehilangan kata-kata) dan mengharapkan semoga saya menjadi ibu yang baik selepas ini.” katanya.

Sementara itu, Bella berkata dia banyak kekurangan dan semangat yang diperoleh sehingga ke saat ini untuk terus bangkit adalah daripada kedua-dua anaknya.

“Saya percaya saya pun pasti banyak kekurangan dan tidak sempurna sebagai seorang ibu, tapi dengan adanya penghargaan seperti ini, sudah tentu saya mahu buat yang terbaik untuk menjadi ibu terbaik. Semangat yang saya dapat untuk meneruskan kehidupan sebenarnya daripada anak-anak saya juga,” katanya.

SUMBER: BH Online

×