Baru-baru ini negara digemparkan dengan berita mengenai Aniq Kasdan, atlet baru sukan angkat berat Malaysia atau lebih mesra dikenali sebagai Badang Negara.
Atlet ini terlepas membawa pulang gangsa dengan hanya dibezakan satu kilogram dengan pemenang gangsa dalam kategori 61 kilogram (kg) Olimpik Paris 2024 yang lalu.
Atlet kelahiran Johor ini juga melakukan angkatan terbaik 130kg dalam snatch untuk menduduki tangga keempat. Dia kemudian bermula baik apabila melakukan angkatan 167kg dalam percubaan pertama clean and Jerk, sekali gus memecahkan rekod kebangsaan dengan angkatan keseluruhan 297kg. Padu!
Walau bagaimanapun Aniq Kasdan terpaksa akur dengan keputusan yang diumumkan semasa pertandingan itu berlangsung.
Sementara itu, memetik postingan di Facebook Menteri Belia & Sukan, Hannah Yeoh berkata beliau sangat bangga dengan kejayaan anak muda yang baru berusia 22 tahun ini. Malah memberi jaminan bahawa program Road To Gold (RTG) akan memberi sokongan penuh kepada atlet tersebut.
“Walaupun baru sahaja dimasukkan ke dalam program Road To Gold (RTG) pada bulan November lalu, beliau sudah menunjukkan peningkatan yang amat ketara, daripada ranking ke-10 kepada top 4 di Sukan Olimpik. Beliau telah menunjukkan bahawa sukan angkat berat mempunyai potensi raih pingat emas di LA2028 nanti,” jelas Hannah Yeoh dalam postingannya itu.
“Saya percaya Aniq boleh memenangi pingat gangsa hari ini. Walaupun saya berasa sangat sedih untuknya kerana terlepas gangsa, saya juga penuh harapan tentang potensinya. Dia melakukan lif yang hebat. Sejak hari pertama dia menyertai program sokongan RTG, dia bersahaja dan mahu mencabar kedudukannya sendiri. Dia melakukan lebih daripada itu hari ini. Dia menunjukkan kepada Malaysia dan dunia bahawa kita boleh menjadi kuasa yang perlu diperhitungkan dalam sukan angkat berat.
“Terus melangkah ke hadapan! Saya telah bercakap dengannya hari ini bahawa RTG berikrar memberikan sokongan penuh untuk dia mencapai kejayaan yang lebih tinggi, mengangkat lebih berat dan menjadi lebih kuat.
“Dia masih muda dan boleh menjadi pencabar hebat serta prospek yang baik untuk membawa pulang emas pada 2028. Saya percaya pada Aniq dan dia memberi inspirasi kepada negara kita hari ini. Saya pasti ramai anak muda kini ingin meneroka sukan angkat berat.”