Pelakon Ashraf Muslim berpendapat media sosial bukanlah tempat untuk menyelesaikan masalah lebih-lebih lagi berkenaan soal peribadi kerana boleh membawa lebih banyak masalah.
Memetik BH Online, Ashraf turut mengingatkan pengguna media sosial untuk lebih berhati-hati sebelum membuat hantaran serta memikirkan kesan terhadap keluarga
BACA: “Tak Kisah Kahwin 2, 3, 4, Betulkan Niat, Jaga Hubungan” – Ashraf Muslim
“Jangan jadikan media sosial sebagai platform untuk selesaikan masalah sebab tidak semestinya di platform ini dapat membantu meringankan bebanan.
“Sebaliknya, media sosial menyumbang masalah lebih banyak, jadi kena berhati-hati. Tidak semestinya orang luar suka atau sokong kita.
“Kalau sayangkan diri, keluarga dan orang sekeliling, berhati-hatilah dalam membuat keputusan berkongsi dalam media sosial,” katanya.
Sementara itu, Ashraf berkata masalah membabitkan keluarga sepatutnya disimpan dengan kemas dan bukanya didedahkan kepada umum.
Malah, Ashraf turut mengingatkan kedua-dua isterinya supaya memanfaatkan penggunaan media sosial dengan sebaiknya dan kebaikan mahupun keburukan serta aib perlu dijaga.
“Keluarga adalah harta yang perlu dijaga dengan baik. Tidak kisah sama ada kebaikan, keburukan atau aib, sebagai keluarga kitalah perlu jaga dengan baik.
“Ibarat seperti kereta rosak, takkan nak biarkan tengah jalan begitu sahaja. Kitalah yang kena baiki sikit demi sikit. Janganlah kita gunakan amarah dengan selesaikan di tempat yang tidak sepatutnya, termasuklah media sosial.
“Media sosial adalah platform yang bagus, tetapi kalau digunakan dengan cara tidak bagus, lama-kelamaan ia akan merosakkan hubungan dengan orang tersayang, diri sendiri dan keturunan,” katanya.
SUMBER: BH Online