Altimet Yakin SST Akan Ditambah Baik, Kerajaan Madani Prihatin

Kerajaan MADANI tidak akan membiarkan rakyat terus dibebani dengan pelaksanaan dasar yang menjejaskan kehidupan harian, termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman.

Syed Ahmad atau Altimet berkata, pelaksanaan SST oleh kerajaan adalah langkah menjana pendapatan negara dengan pendekatan yang seimbang dan progresif.

Tegasnya, sebagai kerajaan prihatin, dasar percukaian itu tidak menyasarkan golongan berpendapatan rendah.

“Kerajaan MADANI hari ini adalah kerajaan yang mendengar. Segala suara, pandangan dan keluhan rakyat tidak pernah diabaikan.

“Dalam usaha untuk menjana pendapatan negara demi masa depan yang lebih kukuh dan berdaya saing, kerajaan sentiasa berusaha mencari jalan yang paling seimbang menambah hasil negara tanpa membebankan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Syed Ahmad turut menjelaskan bahawa SST pada asasnya adalah cukai yang bersifat progresif dan tidak menyasar kepada golongan berpendapatan rendah.

Katanya, SST dilaksanakan secara terpilih dan beliau yakin kerajaan sedia meneliti semula mana-mana pelaksanaan yang menimbulkan kekeliruan atau ketidakselesaan kepada rakyat.

“Sebagai contoh, ada kekeliruan berkenaan cukai ke atas buah-buahan import seperti epal dan oren yang sebenarnya kita nikmati setiap hari,” katanya.

Namun beliau yakin perkara itu dapat diselesaikan dengan kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa mengambil kira suara rakyat dalam setiap dasar kerajaan.

“PMX adalah seorang pemimpin yang amat prihatin terhadap nasib rakyat. Percayalah, beliau tidak akan membenarkan dasar atau langkah kerajaan menekan kehidupan rakyat,” katanya.

Syed Ahmad turut menambah bahawa langkah menilai semula SST berpotensi memberi kesan positif kepada peniaga tempatan apabila kebergantungan kepada buah-buahan import dapat dikurangkan.

“Saya melihat potensi peniaga buah-buahan tempatan akan menerima manfaat tidak langsung apabila kebergantungan kepada import mula berkurang,” ujarnya.

 

×