Aliff Aziz Sedih Ibu Jadi Mangsa Serangan Netizen

Pelakon sensasi, Aliff Aziz mengakui sedih ibunya Siti Hafiza menjadi mangsa serangan netizen susulan kontroversi perceraian dengan bekas isteri, Bella Astillah dan kes khalwat bersama Ruhainies.

Memetik BH Online, Aliff berkata dia menghormati pendapat semua pihak namun berharap orang ramai lebih berpada-pada dalam memberikan komen di media sosial.

BACA: Aliff Aziz, Ruhainies Mengaku Tidak Bersalah Berkhalwat

“Sebagai anak, sudah semestinya kecewa dan sedih. Namun, kerana kekurangan dan kesilapan, saya sudah letakkan ibu pada posisi begitu.

“Cuma saya sangat berharap kepada semua orang, apa sahaja pendapat yang ada, kami semua hanyalah manusia biasa seperti orang lain. Kami manusia biasa yang buat salah dan silap, kami juga ada perasaan.

“Semua orang berhak memberi pendapat. Cuma saya berdoa dan berharap kepada semua, berpada-padalah dalam mengeluarkan kata-kata kesat dan tidak baik,” katanya.

Sementara itu, Aliff berkata apa yang terjadi adalah peringatan buat dirinya serta menjelaskan mengenai hantaran berunsur Islamik yang dikongsikannya serta ibunya di media sosial.

“Macam saya cakap, ini peringatan untuk saya kerana apa yang kita kongsi, apa yang kita taip, senang dikongsikan.

“Sebagai contoh, apabila saya dan ibu berkongsi hantaran tidak berkenaan, seperti berkongsi peringatan mengenai kata-kata Islamik, kita tidak perlu jadi baik untuk sebarkan perkara yang baik. Saya berharap apabila saya sebarkan perkara terbabit, Insya-Allah, Tuhan akan berikan kebaikan kepada saya,” katanya.

Semalam, Aliff dan Ruhainies mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan berhubung kes khalwat pada 9 Mac lalu ketika pertuduhan dibacakan di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan.

SUMBER: BH Online

×