Pelakon Ebby Yus yang kini menjalani dialisis di rumah untuk penyakit buah pinggangnya meluahkan rasa syukur menerima sumbangan daripada rakan artis membantu mengurangkan bebannya.

Memetik Harian Metro, Ebby berkata dia menjalani dialisis sebanyak dua kali sehari pada waktu pagi dan petang, selama lebih kurang 40 minit setiap sesi.

BACA: Ebby Yus Perlukan RM3,000 Sebulan Untuk Kos Sara Hidup, Rawatan & Ubat-Ubatan

“Alhamdulillah. Sekarang, saya menjalani dialisis air sebab untuk dialisis darah, jantung tak kuat. Sekarang, saya buat bilik khas untuk dialisis di rumah.

“Sehari, saya perlu jalani dialisis sebanyak dua kali pagi dan petang. Sekarang, pihak hospital berikan percubaan cecair 7.5 peratus yang agak kuat dan ia boleh bertahan 12 jam,” katanya.

Sementara itu, Ebby berkata dia juga perlu mengehadkan pengambilan air seharian namun meluahkan rasa syukur berat badannya menunjukkan kenaikan dan proses untuk membuang air kecil tidak ada masalah.

“Untuk air minuman, saya boleh minum 800 mililiter air sahaja. Andai kata saya kerap buang air kecil, saya boleh minum lebih. Alhamdulillah, proses membuang air kecil pun tak ada masalah.

“Berat badan saya pun dah naik. Sebelum ini, berat saya turun sehingga mencecah 59 kilogram (kg). Tapi, sekarang dah naik semula hingga 64 kg. Makan pun dah berselera,” katanya.

Dalam pada itu, Ebby berkata dia menolak tawaran beberapa individu yang mahu mendermakan buah pinggang mereka kerana tidak sampai hatia apatah lagi mereka juga ada keluarga.

“Ada tiga individu yang nak mendermakan buah pinggang, tapi, saya tolak. Tak mengapa. Sebabnya, saya tak sampai hati nak ambil buah pinggang orang lain kerana mereka pun ada anak dan isteri. Jadi, kalau ada rezeki untuk saya sihat, Alhamdulillah. Kalau tak ada, dah sampai masa saya.

“Bahkan, kalau adik beradik nak derma pun, saya rasa, tak (terima) kot. Lagi pun, kita tak tahu sama ada ia sesuai atau tidak dengan kemampuan badan kita.

“Saya dah hidup dengan pelbagai penyakit ini sejak berusia 20-an lagi sehinggalah saya sekarang berusia hampir 60 tahun. Alhamdulillah, Allah berikan kekuatan kepada saya,” katanya.

SUMBER: Harian Metro

×