Selepas lebih setahun tidak dapat berjumpa, pelakon Hafidz Roshdi mengakui rindukan dua anaknya, Humairah dan Umar.

Memetik Harian Metro, Hafidz berkata dia tidak tahu mengenai keadaan anaknya yang dibawa menetap di Australia oleh bekas isterinya, Nurul Shuhada.

BACA: Shuhada Tarik Balik Kes Pukul, Hafidz Roshdi Puas Hati

“Kalau ikutkan sudah lebih setahun saya tidak bertemu anak-anak. Saya tak tahu keadaan mereka sekarang ini. Maklumat terbaru yang saya dapat tahu, mereka dibawa ibunya ke Australia tanpa pengetahuan dan izin saya.

“Namun, kepada Umar dan Humairah, abah nak beritahu yang abah sangat rindu dan sayangkan kalian berdua.

“Abah harap kita dapat jumpa satu hari nanti Insya-Allah. Kali terakhir kami berhubung pun melalui panggilan video sebelum mereka berpindah ke Australia,” katanya.

Sementara itu, peguam syarie yang mewakili Hafidz berkata, sebelum ini pihaknya ada menulis surat kepada bekas peguam Shuhada untuk mengadakan perjumpaan anak guamnya untuk bertemu anak namun tiada jawapan.

“Dalam surat itu kami ada bertanyakan mengenai alamat terkini dan nama sekolah anak-anak supaya anak guam saya dapat mencari jalan untuk bertemu merekan, namun tidak diberikan.” katanya.

Dalam pada itu, Hafidz berkata dia masih tidak culas membayar nafkah untuk kedua anaknya walaupun sudah lama tidak bertemu kerana itu tanggungjawabnya.

“Saya tetap bagi (nafkah) daripada tarikh dituntut hingga ke hari ini. Kepada Umar dan Humairah, abah nak beritahu kalian tidak perlu risau mengenai pembayaran nafkah kerana abah akan uruskan kerana itu adalah tanggungjawab abah,” katanya.

SUMBER: Harian Metro

×