Kalau anda tengah fikir hujung minggu ni nak lepak mana dengan keluarga atau geng sekepala, ni la jawapannya.

Dari 27 hingga 29 November 2026 ni, Stadium Merdeka, Presint Merdeka 118 akan jadi meriah dengan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2026 x Karnival Jom Heboh. Bukan sekadar karnival biasa, tapi satu tempat di mana anda boleh belajar pasal kewangan, main, makan, dan berhibur dalam satu masa.

Buat Pertama Kali, MSAM Bergabung Dengan Karnival Jom Heboh

Buat julung kalinya, MSAM yang merupakan platform utama anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk bantu rakyat Malaysia faham tentang kewangan, bergabung dengan Karnival Jom Heboh.

Bila dua acara besar ni bergabung, anda dapat suasana yang lain sikit. Takde la rasa macam masuk kelas kewangan yang serius. Sebaliknya, anda boleh kenal dunia simpanan dan pelaburan dalam suasana yang lebih santai, interaktif dan mesra keluarga.

Yang bestnya, usaha ni bukan untuk orang dewasa yang dah bekerja saja. Malah, ia turut menggalakkan golongan muda dan keluarga untuk mula ambil tahu tentang kepentingan merancang kewangan dari awal. Lagi cepat anda faham, lagi banyak peluang untuk anda bina asas kewangan yang lebih kukuh untuk masa depan.

Pelancaran ‘Kita Generasi Labur‘

Selain daripada pelbagai aktiviti sepanjang MSAM 2026, acara ni juga akan jadi tempat untuk pelancaran ‘Kita Generasi Labur’ oleh Perdana Menteri.

Bagi yang mungkin belum biasa dengan inisiatif ni, ‘Kita Generasi Labur’ ni merupakan satu gerakan yang menggalakkan rakyat Malaysia daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang untuk mula melabur dan bina masa depan kewangan yang lebih kukuh.

Mesej dia pun senang je. Dunia pelaburan ni bukan untuk orang yang dah ada pengalaman atau yang dah pandai sangat pasal kewangan saja. Sebaliknya, setiap individu boleh mula ambil langkah untuk faham pilihan pelaburan, kenal kepentingan menyimpan dan merancang kewangan mengikut kemampuan masing-masing.

Bukan Sekadar Di Stadium Merdeka

Kalau anda datang nanti, jangan terkejut kalau anda nampak kemeriahan ni bukan hanya tertumpu di Stadium Merdeka saja. Ia akan mengaktifkan seluruh Presint Merdeka 118, termasuk 118 Mall dan Muzium Tekstil Merdeka (MTM). Dengan sasaran kehadiran sekitar 250,000 pengunjung sepanjang tiga hari, memang meriah habis la.

Macam-Macam Aktiviti & Hiburan Untuk Seisi Keluarga

Untuk yang suka aktiviti, ada lebih 150 booth untuk anda terokai, konsert Jom Heboh pada malam Sabtu dan Ahad, sesi meet & greet bersama pelakon drama TV3 dan personaliti TV9, Pertandingan Karaoke Drama Sangat, Buletin Challenge, Kids Colouring Contest, pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma, dan sesi Zumba.

Ada juga Jom Heboh Fun Run Lari Baik-Baik Bersama KWSP pada 29 November (Ahad) di Stadium Merdeka. Larian kategori 5KM ni memang sesuai untuk seisi keluarga yang nak beriadah sama-sama.

Dan bukan itu saja, sepanjang MSAM 2026 ni juga ada pelbagai hadiah lumayan yang menanti pengunjung bertuah. Antara hadiah utama yang ditawarkan termasuk sebuah rumah teres dua tingkat di Suasana Ainsdale, kereta elektrik BYD Seal Performance dan baucar percutian bernilai RM50,000.

Geng Labur ASB: Melabur Lebih Seronok Bersama Geng

Bercakap tentang pelaburan, ada satu lagi kempen menarik yang sedang berjalan sekarang ni, iaitu Geng Labur ASB oleh ASNB.

Kalau selama ini anda fikir pelaburan perlu dilakukan seorang diri, kempen ini membawakan konsep berbeza apabila anda boleh bergabung dengan rakan-rakan atau ahli keluarga untuk mencapai matlamat pelaburan bersama.

Menerusi Geng Labur ASB, kumpulan yang terdiri daripada dua hingga empat orang boleh menyertai kempen dengan mencapai jumlah pelaburan ASB terkumpul minimum RM20,000 bagi merebut peluang memenangi hadiah menarik.

Lebih menarik, hadiah yang ditawarkan bukan calang-calang! Antara hadiah utama termasuk percutian selama enam hari lima malam untuk empat orang ke KwaZulu-Natal, Afrika Selatan lengkap dengan pengalaman safari.

Selain itu, terdapat juga hadiah penginapan selama tiga hari dua malam untuk empat orang di Club Med Borneo. Bagi yang berminat, Geng Labur ASB kini diteruskan menerusi Fasa 2 sehingga 31 Januari 2027. Jadi, apa lagi? Jom la ajak geng anda bincang sekarang dan rancang penyertaan anda.

Geng Labur ASB Raikan Pemenang Di The View at 118

Semangat Geng Labur ASB ni pun dah pun sampai ke puncak The View at 118 sebelum MSAM 2026 bermula. Pada 21 November lepas, ASNB telah bawakan tetamu yang merupakan antara yang terawal untuk melawat dek pemerhatian tu, di mana mereka berpeluang untuk menikmati pemandangan Kuala Lumpur, cuba sendiri pengalaman kapsul kaca, dan beramah mesra dengan pemegang unit yang lain.

Majlis tu juga meraikan geng-geng pemenang Fasa 1 Geng Labur ASB menerusi majlis penyampaian hadiah. Untuk tetamu yang terpilih, mereka turut berpeluang untuk bermain pickleball di Tingkat 118, satu pengalaman yang memang jarang dapat di menara kedua tertinggi di dunia ni.

Jom Meriahkan MSAM 2026 x Jom Heboh!

Apa yang pasti, penganjuran MSAM 2026 dengan kerjasama Karnival Jom Heboh ni membawakan pendekatan yang berbeza untuk dekatkan masyarakat dengan ilmu kewangan dan pelaburan.

Dalam suasana yang lebih santai, anda berpeluang untuk kenal kepentingan menabung, faham dunia pelaburan dan dapat pendedahan tentang pelbagai inisiatif yang boleh bantu anda bina masa depan kewangan yang lebih baik.

Jadi, kalau anda masih tercari-cari aktiviti menarik untuk hujung minggu ni, bolehlah ajak keluarga dan geng sekepala untuk sama-sama meriahkan MSAM 2026 x Jom Heboh!

Paling best, kemasukan adalah PERCUMA dan terbuka kepada semua orang. Ni butiran dia:

Tarikh: 27 hingga 29 November 2026
Masa: 9.00 pagi hingga 11.00 malam
Lokasi: Stadium Merdeka, Presint Merdeka 118

Bagi yang berada di luar Lembah Klang atau tak berkesempatan untuk hadir ke Stadium Merdeka, jangan risau. Kemeriahan ni juga turut dibawakan ke cawangan ASNB di seluruh negara sepanjang bulan November, dan akan diteruskan dari 1 hingga 15 Disember.

Jangan lupa datang tau!

Untuk maklumat lanjut layari https://www.asnb.com.my/campaign/geng-labur-asb.

×