PU Riz Sedih Dituduh Penunggang Agama, Didakwa Tiada Tauliah

Pendakwah bebas, PU Riz meluahkan rasa terkilan apabila dituduh tidak mempunyai tauliah serta kelayakan akademik dimilikinya dipertikai segelintir pihak.

Memetik Oh Bulan, PU Riz berkata tidak salah untuk mengkritik namun berharap menghormati serta tidak mempertikaikan usahanya dalam menuntut ilmu.

BACA: PU Riz Nafi Dakwaan Tiket Wayang Ganti Bayaran Balik Kepada Peserta

“Saya sebenarnya sedih dengan perkara ini. Saya memberikan tazkirah kepada orang ramai, tidak salah sekiranya ada pihak yang mahu mengkritik. Mungkin mereka tidak bersetuju dengan apa yang saya sampaikan dan itu perkara biasa.

“Namun, apabila melibatkan kelayakan pendidikan, saya harap mereka dapat menghormati usaha dan perjalanan saya dalam menuntut ilmu.

“Pada awalnya mungkin saya tidak begitu terasa, tetapi apabila berterusan menerima pelbagai kata-kata sedemikian, lama-kelamaan agak menyakitkan,” katanya.

Sementara itu, PU Riz menyifatkan dakwaan tidak mempunyai tauliah agak serius kerana dia mendapat tauliah sejak 2020 dan baru saja tamat pengajian Sarjana Pengajian Islam.

“Saya sebenarnya mempunyai tauliah sejak tahun 2020 lagi dan tauliah tersebut merupakan tauliah mengajar agama. Mengenai kelayakan pendidikan, ada juga pihak yang menulis pelbagai perkara sehingga sedikit sebanyak menyentuh perasaan saya.

“Untuk pengetahuan, saya pernah melanjutkan pengajian di Mesir sebelum menyambung pengajian peringkat ijazah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Alhamdulillah, minggu lalu saya juga baru sahaja menamatkan pengajian Sarjana Pengajian Islam di Open University Malaysia (OUM),” katanya.

Dalam pada itu, PU Riz turut berharap tiada lagi pertikaian mengenai kelayakan pendidikan mahupun tauliah dimiliknya kerana orang ramai boleh membuat semakan sendiri. 

“Bagi kelayakan pendidikan, orang ramai boleh merujuk kepada pihak universiti, manakala untuk urusan ceramah menggunakan tauliah, maklumat itu boleh disemak di Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan,” katanya.

Terdahulu, seorang pengguna media sosial mendakwa PU Riz tidak mempunyai tauliah dan dilabel ‘penunggang agama’ berikutan pembatalan acara Nunha Meet & Greet di Johor yang dijadualkan pada 24 Oktober laludibatalkan atas faktor keselamatan dan kesihatan susulan jerebu.

Sumber: Oh Bulan

×