Dahulu, antara cara untuk mengetahui keadaan sebenar liputan telekomunikasi di sesuatu kawasan ialah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sendiri perlu turun padang melakukan ujian lapangan.
Menerusi kaedah drive test, kenderaan yang dilengkapi peralatan pemantauan bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain untuk menguji kualiti isyarat yang diterima pengguna.
Walaupun kaedah itu masih digunakan, tetapi perkembangan teknologi kini membuka ruang lebih luas untuk data berkaitan prestasi rangkaian dikumpulkan, termasuk dengan penglibatan pengguna sendiri.
Menerusi aplikasi MCMC Nexus yang diperkenalkan secara berperingkat sejak Februari 2025 dan dilancarkan secara rasmi pada 31 Mac lalu, pengguna boleh menguji sendiri prestasi internet menerusi rangkaian 4G, 5G dan Wi-Fi.
Bukan sekadar menguji kelajuan muat turun dan muat naik, aplikasi itu turut mengukur ping dan jitter, selain mempunyai fungsi route survey dan building survey bagi melihat prestasi rangkaian sepanjang perjalanan atau di dalam bangunan.
Ketika dilancarkan, MCMC Nexus sudah mencatatkan 51,415 muat turun dengan kira-kira 168 juta titik data kualiti rangkaian dikumpulkan di seluruh negara, sekali gus membantu MCMC mengenal pasti kawasan liputan lemah dan isu kualiti perkhidmatan dengan lebih tepat.
Dalam erti kata lain, MCMC Nexus bukan menggantikan kaedah pemantauan sedia ada, tetapi menambah satu lagi sumber data apabila pengguna biasa juga boleh menyumbang maklumat mengenai rangkaian mereka.
Apabila data semakin mudah dikumpulkan dan jumlahnya pula semakin banyak, persoalan selepas itu tentunya apa yang boleh dilakukan dengan semua maklumat tersebut.
Bagi Setiausaha Kehormat Pertubuhan Pengguna Ekonomi Digital Malaysia (myDigitalConsumer), Sha’ani Abdullah, perubahan yang dibawa MCMC Nexus sememangnya satu perkembangan baik berbanding pendekatan pada masa lalu.
Sha’ani yang pernah menjadi Pengerusi Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) dari 2005 hingga 2007 berkata, pada zamannya MCMC perlu menggunakan kenderaan yang dilengkapi peralatan pemantauan untuk melakukan pengujian di lapangan.
“Zaman dulu ada kenderaan milik MCMC dengan antena khas yang pergi ke serata negara untuk menguji kualiti isyarat telekomunikasi.
“Jadi, dengan adanya aplikasi MCMC Nexus ini memang memudahkan untuk mengetahui status isyarat telekomunikasi di mana sahaja,” katanya kepada Rotikaya.

Bagi Sha’ani, apabila MCMC Nexus sudah memudahkan proses mendapatkan data, perkara seterusnya yang perlu diberi perhatian ialah tindakan susulan.
MCMC sudah mempunyai mekanisme untuk memanfaatkan data tersebut apabila maklumat prestasi rangkaian yang disumbangkan pengguna diterima secara automatik oleh MCMC dan penyedia rangkaian.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, ketika pelancaran MCMC Nexus pada Mac lalu berkata, data berkenaan antaranya digunakan untuk mengenal pasti kawasan liputan lemah serta isu kualiti perkhidmatan bagi membolehkan penambahbaikan dilakukan.
Justeru, persoalan seterusnya ialah sama ada pengguna yang menyumbang data dapat mengetahui apa tindakan susulan yang dibuat berdasarkan maklumat tersebut.
Atas dasar itu, Sha’ani berpandangan pengguna juga boleh diberikan cara yang lebih jelas untuk mengetahui perkembangan atau tindakan susulan terhadap maklumat yang diterima.
Beliau mencadangkan pendekatan seperti Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), yang membolehkan perkembangan sesuatu aduan atau tindakan dijejaki oleh pengadu.
“Dia kena macam SISPAA. Macam mana kemajuan itu, jadi pengadu dapat lihat,” katanya.
Dalam usaha memperluaskan lagi penggunaan MCMC Nexus, Sha’ani turut melihat ruang untuk aplikasi tersebut diperkenalkan dengan lebih meluas kepada orang ramai apabila beliau sendiri hanya menggunakannya selepas disarankan oleh kenalan di MCMC.
Daripada meminta pengguna memuat turun satu lagi aplikasi, beliau turut mencadangkan supaya fungsi MCMC Nexus dipertimbangkan untuk diintegrasikan dengan aplikasi utama kerajaan yang sudah digunakan secara meluas.
“Kenapa tidak ia dijadikan sebahagian daripada aplikasi utama kerajaan? Kita tak payah nak muat turun banyak-banyak,” katanya.
Apa pun, semakin ramai pengguna mengambil bahagian, semakin banyak gambaran mengenai tahap sebenar rangkaian yang boleh dikumpulkan melalui MCMC Nexus.
Namun, nilai sebenar data yang dikumpulkan bukan sekadar pada jumlahnya, tetapi sejauh mana ia diterjemahkan kepada tindakan dan penambahbaikan yang boleh dirasai pengguna.